Malaysia Dateline

Pas cadang Jawatankuasa Khas lantik jawatan awam digantung sehingga PH hormati janji

Pas hari ini mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam digantung sehingga Pakatan Harapan (PH) menghormati janjinya sendiri

Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun tidak dinafikan keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed melantik Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa perbincangan adalah prerogatif beliau, namun episod itu membuktikan jawatankuasa terbabit tidak berperanan.

“Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Perlantikan Awam Utama mencadangkan agar pengerusi jawatankuasa William Leong Jee Keen menggantung jawatankuasa ini dengan serta-merta memandangkan kerajaan PH sekali lagi tidak dapat mengambil serius dan menghormati manifesto dan janji mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, PH perlu diingatkan mengenai manifesto yang menyatakan pelantikan awam utama perlu melalui jawatankuasa pilihan khas Parlimen dan mereka turut berjanji agar tiada lagi lantikan politik dalam jawatan perkhidmatan awam,” katanya.

Selasa lepas Dr Mahathir mengumumkan pelantikan Latheefa ke jawatan tersebut bagi menggantikan Mohd Shukri Abdull berkuasa 1 Jun lepas untuk tempoh 2 tahun.

Beliau kemudiannya mengesahkan keputusan mengenai lantikan itu adalah keputusannya sendiri dan tidak dirundingkan dengan Kabinet.

Janji ke-14 manifesto pilihan raya umum PH tahun lepas antara lain menyebut “pelantikan pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen”.

Tuan Ibraim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian bagimanapun pun berkata, oleh kerana lantikan telah dibuat, parti itu berharap Latheefa akan dapat membuktikan kebolehannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru.

Semalam Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, perdana menteri perlu menjelaskan keputusannya kepada majlis presiden PH kerana ia tidak dibuat melalui proses pengesahan oleh jawatankuasa Parlimen seperti dijanjikan dalam manifesto PH.

“Saya rasa penjelasan perlu diberikan kepada orang ramai berhubung isu itu. Mengapa manifesto tidak diberi perhatian, tidak dihormati, walaupun saya percaya Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan,” katanya.