Malaysia Dateline

Pas cadang kerajaan serah kepada Majlis Raja-raja atau Parlimen, bukan menteri

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mencadangkan agar kerajaan menyerahkan isu Lembaga Tabung Haji (TH) dibawah Majlis Raja-raja (RCI) ataupun Parlimen.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan hari ini berkata,Pas berpandangan adalah tidak wajar sekiranya pertuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang Menteri yang masih mentah, sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.
,
Justeru katanya, parti itu serius terhadap tuduhan yang berlaku di dalam institusi kewangan terbesar umat Islam di negara ini.

“Saya mengikuti pendedahan terbaru ke atas pihak Tabung Haji, melibatkan aspek pengurusan kewangan, pelaburan dan tadbir urus yang dipertikaikan.

“Pas menyarankan agar satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja (RCI) ataupun Parlimen, bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik, sebelum dilaksanakan oleh pihak Kerajaan yang masih baharu dan kerap membatalkan keputusan yang dibuat mereka sendiri.

“Pas juga menasihatkan agar Kerajaan tidak mempolitikkan isu ini sehingga merosakkan imej Tabung Haji, dan tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan yang masih belum disiasat dan didakwa sehingga hari ini,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, yang dipetik berkata,Pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji (TH) sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Sebaliknya semalam, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, pula dipetik berkata kenyataan Dr Mujahid hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Abdul Azeez berkata, kenyataan berkenaan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017 dalam menilai pasaran semasa (realis) aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah..

Justeru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ini berkata, Pas meletakkan keyakinan terhadap integriti dan profesionalisme di pihak Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan Tabung Haji dalam melaksanakan tugas bagi melindungi kepentingan para pendeposit Tabung Haji.

“Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” ujarnya.