PAS cadang Muhyiddin umum 13 perkara untuk ambil alih jawatan PM

PAS cadang Muhyiddin umum 13 perkara untuk ambil alih jawatan PM

 

Kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk hadir di parlimen dan menjawab dana RM2.6 bilion di dalam akaun beliau telah membuka ruang luas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Presiden Umno dan seterusnya Perdana Menteri, kata PAS.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bola kini di kaki Muhyiddin – “apakah beliau mahu terus menjadi mangsa atau bangkit menjadi PM?”

“Jika TS Muhyiddin memilih untuk bangkit, maka beliau harus berhenti bermain isu yang memperlihatkan beliau sebagai mangsa,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.   Katanya, Muhyidin perlu menumpukan perhatian kepada pengumuman langkah-langkah yang bakal beliau ambil jika beliau ialah PM di saat rakyat kian tersepit dengan pelbagai pengumuman kenaikan harga secara mendadak yang turut dirasai ahli-ahli Umno biasa.

Tuan Ibrahim mencadangkan Muhyiddin menjanjikan 13 perkara kepada rakyat negara ini iaitu:

1. Mengurangkan kadar kenaikan KTM, yang baru dinaikkan sebanyak 58% pada 2 Disember 2015.

2. Mengurangkan kadar kenaikan LRT, yang baru dinaikkan 102% pada 2 Disember 2015.

3. Mengurangkan kadar kenaikan ERL, yang bakal dinaikkan dari RM35 ke RM55 pada 1 Jan 2016.

4. Menghalang kenaikan tol PLUS pada tahun depan dan berjanji menyemak semula segala perjanjian konsesi lebuhraya

5. Menghidupkan semula subsidi elektrik, minyak masak dan beras ST15.

6. Membongkar misteri penderma dan asal-usul RM2.6 bilion

7. Mendedahkan hasil siasatan ke atas 1MDB

8. Mengurangkan pembelanjaan Jabatan Perdana Menteri dan memulangkan bajet pendidikan setara dengan peruntukan di 2015

9. Tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan

10. Tidak sesekali membalas dendam kepada sesiapa yang mengkhianatinya sehingga beliau hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri

11. Berjanji tidak akan membenarkan isteri beliau mencampuri urusan negara mahupun Umno

12. Memecat semua penasihat-penasihat kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri

13. Mengurangkan saiz kabinet

Kata Tuan Ibrahim, Muhyiddin sedar kegagalan untuk memecatnya dari Umno menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan yang kuat di kalangan pemimpin dan ahli Umno.

“Beliau masih boleh bersuara di dunia digital hari ini meskipun digam. Beliau masih boleh memberikan amanat melalui rakaman video,” katanya.

Baginya, dengan rakyat termasuk sebahagian besar ahli Umno yang kini terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, tidak mustahil untuk Muhyiddin mendapat mandat yang besar dan diberi kepercayaan menerajui Umno selepas ini.

“Bola kini di kaki Muhyiddin,” kata Tuan Ibrahim.

TAGS