Pas berpandangan tiada keperluan sama sekali samada dalam konteks siasatan atau penguatkuasaan bagi mencegah gejala rasuah di dalam negara untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).
Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahin Tuan Man berkata, cadangan penubuhan JITN hanya sebagai suatu usaha mengawal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ia sebagai satu langkah undur ke belakang di dalam usaha membebaskan agensi itu sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas.
“Lupakan JITN, Datuk Paul Low. Adalah lebih baik untuk Datuk Paul Low melakukan sesuatu agar kabinet dapat bersetuju untuk mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
“Semestinya Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik jauh lebih membantu daripada JITN dalam membasmi rasuah.
“Lagipun penerangan Paul Low mengenai penubuhan JITN ini sangat samar. Apa kaitannya dengan Program Transformati Kerajaan ataupun membantu dalam usaha membasmi rasuah adalah amat tidak jelas sekali.
“Isu utama yang dihadapi dalam membenteras rasuah negara ialah ketidak-sungguhan pihak kerajaan bagi membasmi politik wang dan pembiayaan politik yang menjadi punca meluasnya gejala politik di kalangan pimpinan politik.
“Bila mana pimpinan gagal menjadi model kepada masyarakat, maka budaya rasuah ini akan menular ke segenap segmen,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan dipetik berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti bagaimana hendak menambah baik keberkesanan penubuhan JITN, sekali gus memastikan tiada pertindihan fungsi penggunaan sumber dan tenaga manusia dengan agensi kerajaan lain.
Penubuhan JITN tidak mengganggu bidang kuasa SPRM, sebaliknya ia bertujuan meneraju transformasi institusi penjawat awam.
Bagaimanapun Dzulkifli mempersoalkan penubuhan JITN dan menegaskan tiada keperluan untuk menubuhkan jabatan baharu yang mempunyai fungsi dan tugas hampir serupa dengan agensi penguatkuasaan lain.
Tambah Tuan Ibrahim lagi Pas turut menyokong tindakan Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada Khamis, mempersoal pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang tetap berhasrat menubuhkan JITN adalah tepat.
“Meskipun JITN dinaik taraf daripada Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah jabatan penuh, ia dilihat adalah bertentangan.
“Dalam suasana kerajaan memotong semua bajet kementerian dan jabatan- jabatan kerajaan ternyata bertentangan dengan sikap berjimat cermat dan ‘arahan’ ikat perut oleh kerajaan sendiri.
“Sekiranya kerajaan mempunyai peruntukan yang lebih, Pas mencadangkan ia adalah lebih bermanfaat untuk disalurkan bagi penambahan peruntukan dan kakitangan SPRM sebagai sebuah agensi utama bagi mencegah jenayah rasuah dalam negara,” ujarnya.
Sebagai rekod cadangan penubuhan JITN dipersetujui Kabinet pada 28 Julai lalu.