Malaysia Dateline

Pas cakap berdegar tentang agama akhirnya sokong MCA?

Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dilihat berpotensi berdepan masalah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, berikutan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional bersama Pas pada 14 September lalu.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, disebabkan ‘kebersamaan’ MCA dan Pas pada ketika ini, masyarakat Cina mula teragak-agak apabila MCA tidak lagi seperti dahulu.

“Dulu mana mungkin MCA sanggup duduk bersama dengan Pas, tetapi sekarang ini boleh duduk bersama dengan Pas kerana Umno telah mengheret Pas, maka dia (MCA) pun sanggup diheret sekali.

“Saya merasakan masyarakat Cina di Tanjung Piai sudah hilang keyakinan terhadap MCA, begitu juga dengan pengundi Melayu, keyakinan mereka terhadap Pas sudah hilang.

“Ini kerana, Pas yang cakap berdegar-degar tentang agama, akhirnya bila letak calon, MCA yang disokongnya. Bagi saya ini perkara yang cukup menarik sebab kita nak tengok sejauh mana rentak pengundi, terpengaruh dengan mainan politik dan rentak songsang.

“Dalam PRK Tanjung Piai ini, kita juga nak tengok macam mana reaksi pengundi apabila pemimpin parti dan calon mereka sudah tidak seperti dulu lagi,” katanya dalam segmen ‘Bicara YB Khalid Samad’ bertajuk, Tanjung Piai: Pas Dikudakan Lagi di Jom Channel, semalam.

Hari ini, media tempatan melaporkan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mencadangkan MCA dikekalkan sebagai wakil BN dalam PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November depan.

Lokman berkata, tiada fakta yang membuktikan calon perlu dipilih daripada Umno atau Pas jika BN ingin memenangi kerusi yang memiliki lebih 50 peratus pengundi Melayu itu.

Untuk rekod, di Parlimen Tanjung Piai, komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Dalam pada itu, Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan, Umno dan Pas kini sudah ‘kekok’ disebabkan sentimen yang mereka mainkan sebelum ini iaitu isu Melayu-Islam.

“Mereka (Umno dan Pas) tak tahu yang PRK akan diadakan di Tanjung Piai. Bila ianya berlaku, mereka dah tahu nak buat apa, akhirnya terpaksalah ikut tarian dan rentak yang baharu.

“Sekarang ini, semuanya dikira OK. Kalau undi calon bukan Melayu-Islam pun tidak mengapa, sedangkan sebelum itu mereka menghentam dengan mengatakan haramlah, itulah inilah tetapi bila ada PRK, eh bertukar pula. Inilah yang dikatakan tidak konsisten,” katanya secara sinis.