Pas cipta rekod tanding kerusi Parlimen terbanyak dalam sejarah PRU

Pas cipta rekod tanding kerusi Parlimen terbanyak dalam sejarah PRU

Pas secara rasmi sudah mengumumkan untuk bertanding di 126 kerusi Parlimen dan 323 Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Angka tersebut bagaimanapun belum termasuk Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Keputusan Pas meletakkan calon di 126 kerusi Parlimen setakat ini mencipta rekod dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) di negara ini.

Sejak PRU pertama 1959, Pas paling banyak bertanding kerusi Parlimen pada PRU 1986 sebanyak 98 kerusi diikuti PRU 1978 (88) dan PRU 2004 di 84 kerusi.

Bagaimanapun, Pas hanya mampu mempertahankan satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa pada PRU 1986 walaupun kontroversi tragedi Memali, Kedah pada 19 November 1985 masih membahang.

Pada PRU 1978, Pas yang bertanding sendirian selepas ‘ditendang keluar’ dari BN hanya menang lima kerusi Parlimen iaitu di Kedah dan Kelantan masing-masing dua kerusi dan satu lagi di Pulau Pinang.

Walaupun Pas berada dalam Barisan Alternatif tetapi tanpa penyertaan DAP, Pas menang hanya enam kerusi parlimen pada PRU 2004.

Rekod itu adalah pencapaian pertama Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam PRU yang mengambil tampuk kepimpinan Pas selepas Ustaz Fadzil Nor meninggal dunia.

Semalam, Pas di beberapa negeri telah mengisytiharkan calon mereka antaranya Selangor, Melaka dan Kedah.

Bilangan kerusi ditandingi Pas mengikut negeri adalah seperti berikut:

Perlis: 3 Parlimen, 15 Dun
Kedah: 14 Parlimen, 36 Dun
Pulau Pinang: 6 Parlimen, 18 Dun
Perak: 19 Parlimen, 44 Dun
Selangor: 20 Parlimen, 47 Dun
Wilayah Persekutuan: 9 Parlimen
Negeri Sembilan: 8 Parlimen, 26 Dun
Melaka: 5 Parlimen, 24 Dun
Johor: 20 Parlimen, 41 Dun
Terengganu: 8 Parlimen, 32 Dun
Pahang: 14 Parlimen, 40 Dun

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu Pas akan mengumumkan calon-calonnya yang akan bertanding pada PRU14 di Kelantan pada 25 April ini.

Beliau yang kekal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu turut memaklumkan senarai calon Pas di Sarawak akan diisytiharkan pada 21 April dan Sabah keesokannya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 8.0