Malaysia Dateline

Pas cukup A+ atas kertas tapi hampir semua ke laut secara praktikal

Saya lihat orang yang tidak suka Pas ini bukan sebab Islam yang dibawa Pas tetapi disebabkan:

1. Pas kata, BN tumbang, rakyat senang, Umno musuh Islam. Akhirnya Pas bersama BN dan Umno.

2. Pas kata, benci dan tolak rasuah. Akhirnya, Pas bersama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah serta membentuk kerajaan bersama mereka.

3. Pas kata, tolak judi, desak tutup kasino Genting dan haramkan judi yang telah dihalalkan oleh kerajaan. Tapi 18 bulan jadi kerajaan, cabutan khas judi naik, siap ada iklan raya promosi judi, pusat judi beroperasi seperti biasa.

4. Pas kata, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) wajib dimansuhkan dan hapuskan sekolah vernakular. 18 bulan jadi kerajaan, UEC diiktiraf, pembinaan sekolah vernakular meningkat.

5. Pas kata, haramkan DAP sebab anti Islam dan anti Melayu. 18 bulan berkuasa tidak ada usaha ke arah untuk menharamkan DAP.

6. Pas kata, tolak cukai GST dan haram kutip cukai yang membebankn rakyat. Dalam Parlimen baru-baru ini, Pas cadangkan kutipan cukai GST perlu ada penambahbaikan dan perkenalkan cukai lain.

7. Pas kata, heret segera pembunuh anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. 18 bulan, sampai sekarang tidak tahu siapa yang bunuh arwah Adib.

8. Pas kata, pinda dan perkasakan RUU 355 segera. 18 bulan jadi kerajaan, tak akan lari gunung dikejar.

9. Manifesto pilihanraya lepas, pendidikan percuma, PTPTN dimansuhkan. 18 bulan ada kuasa, ini tidak dengar langsung dah, banyak beri alasan. Yang lain itu tinggal kenangan.

10. Pas kata, tolak assobiyah. 22 bulan lepas, Melayu, Melayu. 18 bulan kemudian, menyokong konsep ‘Keluarga Malaysia.

11. Pas kata, kos sara hidup meningkat dan harga barang naik sebab tidak laksana Islam. Hari ini macam-macam naik harga, adakah Pas tidak laksana Islam.

12. Pas kata, kempen BMF untuk menjana ekonomi Islam. Sekarang pakat cari hat murah dan BMF tidak menjadi dasar kerajaan Melayu Islam seperti yang diharapkan.

13. Pas kata, MCA memusuhi dan menghina Islam. Sekarang MCA sahabat baik Pas.

14. Pas kata, minoriti menguasai majoriti, Pas yang minoriti 18 kerusi boleh ugut kerajaan untuk laksanakn hudud atau Islam. 18 bulan hingga sekarang tak ada pun ugutan itu untuk laksanakan Islam.

15. Pas kata, bukan 5 tahun, cukup 5 hari akan dapat rasakan perubahan besar. Ini dah 18 bulan tak ada apa-apa pun.

16. Pas kata, DAP dan PH ancaman kepada Melayu dan Islam. Hari ini siap boleh buat MoU bersama.

17. Pas jadi menteri pun hanya mengekalkan dasar dan polisi PH hanya mengutip hasil. Tak ada apa yang baru.

18. Pas kata, hudud dulu baru Putrajaya (kuasa). Sekarang dah ada kuasa dan jawatan, hudud ghuyub tidak tahu kat mana. Terakhir cakap pasal hudud sebelum PRU-14 masa sakan berkelahi dengan DAP. Nanti PRU-15 timbul balik, percayalah.

18. Banyak lagilah kalau nak senarai, hat dalam Harakah pun boleh jadi error lepas depa jadi kerajaan, sebab dah terciduk.

Pendek kata, bab teori Pas cukup A+, atas kertas cantik. Tetapi secara praktikal, hampir semua ke laut. Jadi, sebab itulah ramai tidak suka Pas, bukan bermakna benci Islam.

Lain disebut, lain dibuat, tuduh dan main persepsi yang bukan-bukan. Kalau orang lain jadi kerajaan, semua dia nak segera.

Bila sudah jadi kerajaan baru tahu susah nak buat. Masa jadi pembangkang, gebang dan sembang kari.

Bila orang tidak suka Pas, depa kata orang itu musuh Islam. Walhal, orang itu tidak suka dengan pendekatan, cakap tak serupa bikin, tidak konsisten dan banyak dalil untuk backup kesalahan sendiri.