Malaysia Dateline

Pas dakwa pengundi tolak PBB, desak mahu bertanding PRN-12

Pemuda Pas Sarawak mendakwa pengundi dilihat telah menolak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 2016 lalu.

Justeru, Ketua Pemudanya Hamdan Sani berkata, pihaknya tetap bersedia dan mendesak untuk bertanding pada PRN-12 nanti khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

“Pencapaian Pas sejak masuk bertanding di DUN Beting Maro kian meningkat sehingga PRN-11 yang lepas jika dibandingkan kemenangan PBB di Beting Maro hanya dengan majoriti 1,000 undi.

“Dengan hanya memperolehi jumlah undi itu, ia adalah isyarat penolakan rakyat yang tidak berganjak walaupun ketika itu Pas bersendirian,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Hamdan, penolakan itu jelas dan akan berterusan seperti mana kajian oleh sekumpulan penyelidik dari universiti awam pada pilihan raya lalu bahawa faktor calon dan prestasinya menyebabkan kemenangan mungkin akan terjadi kepada Pas.

Tegasnya, bagi memastikan kerusi DUN Beting Maro tidak jatuh ke tangan lawan Perikatan Nasional (PN), adalah perlu Pas diberi laluan untuk bertanding.

“Jumlah undi yang besar ini akan terus kukuh kerana kekuatan semasa Pas sedia ada yang memiliki 30 cawangan dan lebih 3,000 pengundi dan penyokong setia.

“Malah, undi ini akan pecah sekiranya Pas tidak bertanding dan di sinilah jiwa besar PBB diperlukan agar menyedari hakikat tersebut.

“Sehubungan itu, Pemuda Pas Sarawak mendesak agar PBB memberi laluan kepada kami untuk bertanding di Beting Maro nanti,” jelasnya.

PBB merupakan parti yang paling dominan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) terdiri daripada SUPP, PRS dan PDP.