Pas dakwa ‘posisi tiga serangkai’ amat resahkan umat Islam

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menyifatkan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa semalam sebagai melengkapi keresahan masyarakat Islam di negara ini.

Sebelum itu, pelantikan Datuk Liew Vui Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) dan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara mengundang keresahan sama.

“Kini lengkap posisi tiga serangkai pada sektor undang-undang dan kehakiman dikuasai oleh sosok yang sangat meresahkan umat Islam.

“Kerajaan Pakatan Harapan sekali lagi berjaya pecah rekod pelantikan ketua hakim negara dari kalangan bukan Islam sejak pertama kali ia diperkenalkan selepas pembentukan Malaysia 1963 dengan nama awalnya lord president.

“Hanya lord president yang pertama terdiri dari kalangan bukan Islam iaitu Tun Sir James Beveridge Thomson,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nasruddin menyoal sejauh mana harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di negara ini dalam hal melibatkan undang-undang.

“Paling meresahkan apabila melihat kepada rekod penghakiman ketua hakim negara yang baharu ini. Agak jelas kelihatan corak penghakiman yang tidak menyebelahi Islam dalam beberapa kes penting,” dakwa Nasruddin.

Walau bagaimanapun, beliau menganggap kerajaan Pakatan Harapan boleh “memekakkan” telinga daripada mendengar keluhan dan teguran umat Islam serta tergamak “membutakan” mata daripada melihat reaksi bimbang umat Islam terhadap perkembangan tersebut.

“Reaksi bimbang dan teguran umat Islam telah jelas kedengaran sejak dari pelantikan peguam negara tempoh hari lagi.

“Kini pelantikan ketua hakim negara pula bakal mengundang petaka buat umat Islam. Langkah kerajaan Pakatan Harapan juga dilihat tergesa-gesa dan tergopoh-gapah. Entah apa yang dikejar,” bidasnya.

‘Dilibas ekor buaya’

Mengulas lanjut pelantikan Malanjum, 65, beliau berpendapat Malaysia pada masa ini mempunyai dua ketua hakim negara memandangkan peletakkan jawatan Tun Md Raus Sharif hanya berkuat kuasa pada 31 Julai ini.

“Mungkinkah juga Tun Md Raus telah dipaksa untuk membuat surat peletakan jawatan yang baru berkuat kuasa serta-merta?

“Jika masih kekal peletakkan jawatannya efektif pada 31 Julai, maka apakah ini suatu langkah yang berpelembagaan?

“Apakah ia juga bermakna sudah ada campur tangan kerajaan dalam sistem kehakiman?” soalnya.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu menyifatkaan perubahan yang dilaungkan PH rupa-rupanya ke arah yang lebih teruk dan buruk selepas Islam terumbang-ambing pada era pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.

“Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?” tempelaknya lagi.

Malanjum merupakan anak kelahiran bumiputera Sabah yang pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia.

Pada 2006, buat pertama kalinya sejak terbentuknya Malaysia, beliau menjadi rakyat Sabah yang pertama diangkat sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, jawatan tersebut dipegang masing-masing oleh seorang berbangsa British, seorang dari Semenanjung dan beberapa orang dari Sarawak.

Walau bagaimanapun, pelantikan Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara dilihat mengundang kritikan dan kebimbangan daripada sebahagian masyarakat Islam di negara ini.

5.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 0.0
CATEGORIES
TAGS