Malaysia Dateline

Pas dakwa tuntutan hak milik kekal 999 tahun, bersifat perkauman

Desakan DAP yang mendesak agar Kerajaan Negeri Perak memberikan hak milik kekal tanah Kampung Baharu didakwa sebagai tuntutan yang bersifat perkauman.
Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Razman Zakaria, berkata, DAP dilihat seolah-olah hanya mengangkat kepentingan satu bangsa apabila mendesak kerajaan Negeri memberikan status hak pemilikan tanah 999 tahun kepada kaum Cina.
Katanya, janji Manifesto PH PRU14 sengaja dijadikan alasan untuk DAP mengasak tuntutan tersebut.
“DAP terus mendesak hak milik tanah secara pajakan 999 tahun yang ternyata ekstrem kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Sedangkan Majlis Tanah Negara menetapkan pegangan pajakan sekurang-kurangnya 60 tahun, tetapi tidak melebihi 99 tahun.
“Jika demikian, mengapa tidak tuntutan sama disuarakan terhadap banyak janji Manifesto PH Perak itu yang dimungkiri sehingga kini melibatkan lima teras. Terutama sepuluh dasar tumpuan berkaitan kebajikan untuk rakyat miskin dan kurang upaya yang kini sepi hilang ke alam ghaib?,” katanya dalam satu kenyataan.
Razman turut mempersoalkan tuntutan DAP yang dikatakan tempoh tersebut tidak terjangkau oleh usia normal untuk sekalipun tujuh keturunan manusia.
Malah dakwanya, tuntutan tersebut hanyalah antara ciri minda Komunis dan bukannya minda kerajaan yang mensejahterakan hidup rakyat.
Terdahulu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengarahkan lima Exco Kerajaan Perak dari DAP supaya membantu Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu untuk melaksanakan janji yang termaktub dalam tawaran PH itu.
Menurutnya, segala janji diumumkan itu bukan janji DAP sebaliknya janji PH yang perlu ditunaikan segera selepas rakyat menghantar isyarat jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan kekalahan besar lebih 15,000 majoriti undi.
Terdahulu ketika ucapannya, Kor Ming turut menayangkan klip video yang didakwa diedit itu menunjukkan Ahmad Faizal sedang berucap membacakan tawaran PH sebelum PRU14 dan satu ucapan selepas PRU14 ketika sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak.