Malaysia Dateline

Pas dan Bersatu pun kena minta maaf pada rakyat Malaysia

Perginya Najib ke penjara tidak akan menyucikan Umno-BN. Sebaliknya, Umno-BN perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap segala macam salah urus tadbir dan penyelewengan yang telah dilakukan.

Pas, Bersatu yang beri nyawa pada parti kleptokrat

Pas dan Bersatu yang turut sama bersekongkol dengan BN juga harus memohon maaf atas tindakan mereka terus “memberi nyawa” kepada parti kleptokrat itu. Jangan gadaikan prinsip dan nilai agama sebenar hanya kerana tamak kuasa.

Pendedahan demi pendedahan baru-baru ini jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) langsung tidak layak mentadbir negara. Lebih menyedihkan, wang persaraan tentera dan pekerja kerajaan adalah antara dana yang telah disalahgunakan sepanjang pemerintahan BN.

Pada 18 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan diberitahu RM4 bilion milik Kumpulan Wang Amanah Persaraan telah disalurkan ke SRC International hanya bersandarkan satu surat daripada Najib Razak. Sekarang ini, 90 peratus dana ini telah dibekukan di Switzerland.

Berkaitan isu kapal LCS pula, 3 laporan rasmi yang telah dinyahwarta menunjukkan banyak salah urus tadbir dilakukan dengan sengaja.

Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) telah mengesahkan bahawa kelewatan projek LCS bermula sejak 2015, dan bukannya setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan, seperti yang didakwa oleh Najib.

Zahid Hamidi juga menipu rakyat Malaysia bahawa dia tidak terlibat dalam skandal RM9 bilion LCS ini, namun laporan kerajaan menunjukkan Zahid telah menyatakan sokongannya kepada surat niat daripada Boustead Naval Shipyard (BNS) secara bertulis pada tahun 2010.

Di samping salah guna kuasa, UMNO-BN juga gagal menguruskan syarikat milik kerajaan dengan baik. Selain 1MDB, SRC dan Tabung Haji, contoh lain termasuk “bailout” yang diberikan Kabinet Najib Razak menerusi Minister of Finance Incorporated (MOF Inc) untuk menyelamatkan projek kesayangan Najib, Menara Exchange 106 TRX.

Menara itu dibina pada ketika Kuala Lumpur dipenuhi dengan bangunan komersial. Difahamkan masih banyak unit dalam Menara Exchange 106 ini yang belum disewakan atau dijual. Apa sudah jadi kepada pelaburan kerajaan menerusi MOF Inc? Adakah lebur begitu sahaja?

Bukan itu sahaja, konglomerat Boustead Holdings Bhd juga telah menjadi “bom jangka” ketika pentadbiran Najib Razak. Jumlah hutang Boustead telah melonjak daripada RM3.16 bilion pada tahun 2010 kepada setinggi RM8 bilion pada tahun 2015 dan seterusnya direkodkan pada RM6.2 bilion pada tahun 2017.

Ini jauh lebih tinggi daripada pegangan tunai atau “cash and cash equivalents” Boustead sebanyak RM592 juta setakat 2017.

Malah, Boustead juga mengalami krisis kecairan ketika itu apabila nilai liabiliti semasa (bertempoh kurang 12 bulan) direkodkan pada RM7.1 bilion, berbanding nilai aset semasa RM4.8 bilion.

Selain kelemahan kewangan, Boustead juga mengalami kelemahan pengurusan. Situasi di Boustead mula dipulihkan setelah Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, di mana sebuah pelan transformasi telah dilancarkan pada tahun 2019. Langkah sama turut dilaksanakan di peringkat LTAT, iaitu pemilik majoriti Boustead.

Tambahan, di bawah Pakatan Harapan, satu audit forensik telah diarahkan pada tahun 2019 terhadap BNS, syarikat milik Boustead yang diberikan kontrak BNS.

Segala macam pembaharuan yang kita lihat pada hari ini datang daripada usaha Pakatan Harapan sebelum ini. Jika tiada sebarang pemulihan dimulakan di LTAT dan Boustead, yang akan merana adalah pesara tentera.

Pemuda AMANAH menggesa agar kerajaan Malaysia lebih bertanggungjawab menguruskan duit rakyat dan syarikat berkaitan kerajaan.

Lantiklah individu yang benar-benar berkelayakan untuk mengemudi GLC dan pastikan individu-individu yang menyalah gunakan kuasa dihukum. Paling penting, jangan sama sekali libatkan politik dalam urusan korporat negara.

Ammar Atan ialah Pengarah Strategi Pemuda AMANAH Nasional