Malaysia Dateline

Pas dan judi: Dulu dan sekarang

1. Apabila Pas bersekongkol dengan Bersatu, Umno/BN, Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) dan feksyen Mohamed Azmin Ali dari PKR bagi merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) tahun lalu maka ia juga bersubahat dengan apa saja yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

2. Ketika pemerintahan PH selama 22 bulan dengan seorang Cina DAP bernama Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, cabutan khas judi nombor ramalan dikurangkan daripada 22 kali setahun kepada kepada 11 kali pada tahun 2019 dan lapan kali pada 2020.

3. Sejak sekian lama, modal besar Pas adalah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak Islamik kerana membenarkan judi dan arak. Apabila Pas berkuasa, judi dan arak akan diharamkan. Itulah antara janji Pas kepada para wala’nya. Atau “walaun” mengikut istilah media sosial.

4. Sekarang, apabila Pas duduk dalam kerajaan, dapat jawatan Kabinet dan Menteri Kewangan pula seorang Melayu-Islam berketurunan raja bernama Tengku Zafrul Abdul Aziz, bukan sahaja judi tidak diharamkan malah diperkasakan.

5. Kalau pada zaman kerajaan PH yang Pas kata diterajui oleh DAP cabutan khas judi nombor ramalan dikurangkan kepada 11 kali bagi tahun 2019 dan lapan bagi 2020, di zaman kerajaan Melayu-Islam PN yang dianggotai oleh Pas ini, ia dinaikkan semula kepada 22 seperti pada era BN.

6. Kalaulah Pas ini betul-betul berpegang kepada Islam seperti didakwa dan dihebahkan kepada para wala’nya, ia tentu telah membantah dengan sekeras-kerasnya sehingga keluar daripada kerajaan jika perlu. Tapi reaksi Pas tidak lebih daripada melepas batuk di tangga saja.

7. Malah ia secara terus terang bersubahat dengan kerajaan mesra judi apabila Ahli Parlimennya bagi Bachok, Nik Abduh Nik Aziz sekadar berkata kerajaan sepatutnya mengekalkan keputusan pentadbiran PH yang telah mengurangkan jumlah cabutan. Namun begitu, terima kasihlah kepada beliau kerana setuju dengan langkah kerajaan PH.

8. Takkanlah Tengku Zafrul memandai-mandai seorang diri meluluskan permohonan daripada agensi nombor ramalan untuk menambah bilangan cabutan khas kepada 22 kali setahun macam zaman BN? Takkan Kabinet atau Perdana Menteri tak tahu?

9. Tengku Zafrul ni dia bukan orang politik. Dia orang korporat. Keutamaan dia adalah hasil (revenue) kerajaan. Manakala pemimpin Melayu-Islam PN pula nampak macam tidak berapa peduli asalkan hasil kerajaan ada untuk bayar gaji, elaun, pencen dan segala kemudahan mereka.

10. Apabila kerajaan PH mengambil keputusan mengurangkan cabutan khas dan menaikkan cukai judi ia berpaksikan pertimbangan moral. Tindakan kerajaan PN melonggarkan syarat perjudian berpaksikan duit semata-mata.

Sekianlah adanya. Terima kasih.

Gambar untuk hiasan semata-mata.