Malaysia Dateline

Pas dan pemikiran takfiri berpisah tiada

Pemikiran takfiri sudah berakar umbi di dalam otak pentaksub Pas dan memang tidak boleh lagi ditanggal buang, tegas Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Beliau berkata demikian mengulas tulisan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahuddin dalam Harakahdaily baru-baru ini.

“Tulisan ini (Ustaz Ahmad Bilal) membawa maksud, jika Adly (bekas Ketua Menteri Melaka) mempunyai jiwa Islam, AMANAH tidak boleh bekerjasama politik dengan DAP, tapi perlu bersama PN. Jika tak bersama PN, tetapi bersama DAP, jiwa Adly apa?

“Orang AMANAH terutama Adly dianggap tidak berjiwa Islam hanya kerana bekerjasama politik dengan DAP?

“Jiwa Islam Adly hilang apabila DAP bersedia mengembalikan posisi KM kepadanya jika berjaya dalam pilihan raya akan datang?” soalnya.

Terdahulu, Ahmad Bilal menulis Adly dan PAN sendiri hatta PKR jika mempunyai jiwa Islam dan semangat negarawan, maka penyatuan ummah yang diusaha perkasakan ketika ini wajar disambut.

“Tinggalkan DAP yang membentangkan fatamorgana dan kehancuran generasi masa depan dan mari kita adakan ‘new deal’ bersama Perikatan Nasional,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berpendapat adalah lebih sesuai ungkapan lain digunakan seperti Adly berjiwa kental, jika Adly mahu Melaka lebih maju, atau jika Adly mahu sungai Melaka lebih jernih berbanding mengaitkan dengan agama.

“Jika Adly bersama DAP dianggap tidak berjiwa Islam, Adly berjiwa apa? Bagaimana mahu ditakwil kenyataan itu? Jika “berjiwa bukan Islam” bukan antonim berjiwa Islam, berjiwa apa?

“Jika dulu, ada orang Pas yang berani secara terang-terang berkata orang Umno kafir, kini mereka agak lunak tapi pemikiran takfiri tetap wujud. Dan tak mustahil, jika terdesak ungkapan takfiri akan kembali membelit lidah pentaksub Pas,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata, tulisan pemimpin Pas itu tetap menggambarkan pemikiran takfiri memang berakar umbi dalam otak pentaksub parti tersebut seperti ketagih arak berakar umbi dalam diri orang jahiliah.