Pas dapat sijil nikah selepas lama bersekedudukan, kata Khalid Samad

Pas dapat sijil nikah selepas lama bersekedudukan, kata Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan Pas hari ini ibarat mendapat sijil nikah sempena pemeteraian penyatuan dengan Umno hari ini selepas lama menjalin hubungan sulit.

Menurutnya, pendirian Pas pada masa sekarang tidak sama seperti ketika kepimpinan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

“Hubungan sulit yang disorok sebelum ini kini diisytihar secara terbuka. (Dulu) Pas bersekedudukan dengan parti perkauman Melayu.

“Mungkin hari ini tandatangan (MoU) dapat sijil nikahnya, Wallahualam.

“Pas wajah baru ingin bersama Umno sejak 2013. Keluar dari Pakatan Rakyat, Pas mula mempunyai hubungan terbuka dengan Umno,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam majlis dialog dengan pengamal media di Pulse Grande Hotel di Putrajaya hari ini.

Khalid menjelaskan Pas pada masa ini sudah mengalami perubahan apabila hanya menekankan soal Melayu dan Islam berbeza dengan pendirian sebelum ini yang berpegang pada prinsip Pas untuk semua.

“Betapa janggal slogan Pas untuk semua kerana mereka yang bawa slogan itu sudah keluar dari Pas dan berada dalam AMANAH.

“Sebab apa? Pas ingin berdamai dengan Umno atas semangat Melayu Islam,” tambahnya lagi.