Pas desak kerajaan segera siasat dalang projek MyKad

Pas desak kerajaan segera siasat dalang projek MyKad

Pas mendesak supaya pihak berkuasa segera menyiasat individu tidak bertanggungjawab yang menjadi dalang projek penjualan MyKad kepada warga asing.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan menipu dan menjual MyKad adalah perbuatan khianat dan cubaan untuk mensabotaj kedaulatan negara.

Katanya, dalang disebalik kegiatan tersebut perlu dikenakan hukuman mati yang setimpal dengan kesalahan mereka.

“Kami mendesak pihak berkuasa menyiasat hingga ke lubang cacing mereka yang mendalangi projek penjualan MyKad kepada warga asing dan pesalah tersebut dikenakan hukuman mati.

“Pas percaya penipuan dan penjualan MyKad yang terbongkar mutakhir ini hanyalah ‘tip of the iceberg’.

“Tidak mustahil, projek MyKad ini turut membabitkan penjualan hartanah, aktiviti ekonomi gelap, sistem keselamatan negara dan kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan keberadaan warga asing dalam negara yang telah mendapat kewarganegaraan secara mudah itu.

“Sekiranya ramai warga asing seperti dari China dan Hong Kong, di manakah penempatan mereka? Apakah pekerjaan dan tujuan mereka datang ke sini?,” soalnya

Dalam operasi khas minggu lalu beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Di Pulau Pinang, Bernama melaporkan seorang penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen negeri itu berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya semalam, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung perkara itu.