Malaysia Dateline

Pas desak KPN dedah hasil siasatan pemimpin Dong Zong

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) hari ini mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk segera mendedahkan hasil siasatan ke atas pemimpin Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Malah Pas juga mendesak pihak polis membatalkan kongres anti Jawi yang akan diadakan Dong Zong pada 28 Disember 2019 ini

Ketua Penerangan Pas Kamaruzaman Mohamad berkata, sewajarnya pihak polis mendedahkan hasil siasatan ke atas Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim yang telah memberikan keterangan pada 22 Ogos lalu dalam isu pengajaran tulisan jawi.

“Sudah cukup empat bulan Tan Tai Kim dipanggil memberi keterangan namun sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang pendakwaan.

Kamaruzaman Mohamad

Terkini, beliau terus menyatakan bantahan terhadap tulisan Jawi dan akan mengadakan Kongres Pertubuhan China pada 28 Disember 2019 walaupun sudah ditegur Perdana Menteri bahawa kongres ini boleh mencetuskan huru-hara dalam negara.

“Dong Zong adalah pertubuhan yang bersifat keras, melampau dan tiada toleransi, malah sejarah juga pernah menyaksikan pemimpinnya dilucutkan kerakyatan satu ketika dulu.

“Pelajaran jawi yang hendak diperkenalkan hanyalah tiga mukasurat yang dimasukkan di dalam buku teks dan usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamaruzaman lagi, Pas menyifatkan perjuangan Dong Zong sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Pas berpandangan ketidaktegasan pihak berkuasa ke atas Dong Zong inilah yang menyebabkan ia semakin berani, seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan,” ujarnya.

Bahkan katanya, Pas konsisten dengan pendirian berkaitan isu-isu yang boleh menggugat keharmonian negara.

Ini termasuklah dalam isu berkaitan pengganas LTTE, penyebaran ideologi Komunis dan abu mayat Chin Peng masih lagi belum reda, katanya.

Pada 22 Ogos lalu Pengerusi Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim, dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan dalam isu pengajaran tulisan Jawi di Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, memaklumkan kes Dong Zong disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan).

Siasatan ini dibuat susulan aduan diterima berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah satu bentuk islamisasi.