Pas di PRU14: Bertahan di Pengkalan Chepa, bersarang di Marang

Rekod terburuk Pas dalam sejarah pilihanraya umum tanahair ialah pada PRU ke 7 (1986), apabila cuma mampu bertahan satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, setelah dilanda gelombang Umno.

Bagaimanapun, kredit harus diberikan kepada Pas kerana dengan undi popular pada tahap 15.5% pada ketika itu adalah satu angka yang tidak kecil. Malah lebih popular dari PRU12/2008 (14.4%) dan PRU13/2013 (14.8%).

Dalam konteks sistem First-Past-The Post, single winner, simple majority style, ini satu indikator pencapaian yang boleh dibanggakan.

 

Kelantan, simbol legasi dan kubu Pas

Keseluruhan undi yang di pungut oleh Pas dari semua kerusi seluruh Negara pada PRU7 ialah sebanyak 716,952.

Penyumbang undi tertinggi Pas datangnya dari kerusi Pengkalan Chepa, yang juga kerusi tunggal Parlimen yang dimenangi. Jadi boleh lah ditafsirkan, bahawa Pengkalan Chepa adalah simbolik kepada benteng terakhir pertahanan Pas. Dulu.

Untuk rekod, dari sepuluh penyumbang terbesar undi Pas, enam darinya terletak di Kelantan, tiga di Terengganu dan satu di pendalaman Kedah. Jadi secara simboliknya juga, kubu pertahanan terakhir Pas berfokus di Kelantan.

Pendeknya Kelantan adalah sinonim dengan legasi dan tradisi kubu Pas.

 

Bagaimana Nik Aziz mengarus perdanakan Pas

Pendekatan politik Kelantan khasnya yang di pengaruhi oleh AlMarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) yang diperakui umum lebih dinamik, progresif, pragmatik dan bijak membaca realiti dan percaturan semasa telah sedikit sebanyak menyumbang kepada anjakan (shift) asas sokongan Pas keluar dari geografi dan demografi tradisinya kearah medan perdana.

Bermula dengan kerjasama dengan serpihan parti Umno, parti S46, ATGNA berjaya meyakinkan pengikut-pengikut, dengan menggunapakai analogi mudah, konsep dan strategi galah sejengkal untuk menerima bekas seteru yang sering berkonfrontasi semasa mereka di dalam Umno untuk menjadi rakan kongsi politik baru.

Hasil kerjasama padu diatas platform Angkatan Perpaduan Ummah (APU) ini, Pas berjaya menang besar dan merampas Kelantan dari Umno pada PRU8 (1990).

Pas sekali lagi menumpang arus perdana politik pada PRU10 (1999). Di atas platform Barisan Alternatif (BA) bersama Parti Keadilan Nasional (PKN), dan kerjasama tak resmi bersama DAP diatas nama Gagasan Rakyat di sebelah pantai barat, Pas sekali lagi menumpang tuah menang bergaya merampas Terengganu dan mendapat lonjakan tertinggi perwakilan ke Parlimen seramai 27 orang.

Pada PRU12 (2008), Pas sekali lagi menumpang tuah hasil kerjasama dengan PKR dan tahalluf siyasi persefahaman dengan DAP yang turut menyumbang kepada penguasaan di lima negeri, iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Kerjasama resmi kemudian didaftarkan selepas PRU12 diatas nama Pakatan Rakyat.

Dalam ketiga-tiga situasi, iaitu PRU8 (1990), PRU10 (1999) dan PRU12 (2008), Pas, terutamanya dengan kehadiran dan karisma tokoh-tokoh progresif seperti Mujahid Yusuf Rawa, Dzukefli Ahmad, Dr. Siti Mariah dan Khalid Samad telah berjaya membawa keluar asas sokongan dari kawasan dan demografi tradisi ke arah medan perdana.

Perubahan alihan demografi asas sokongan ini jelas boleh dilihat dari trend anjakan sumbangan undi terbesar Pas. Berbanding PRU7 (1986), dimana sepuluh penyumbang terbesar undi Pas terletak di Kelantan, Terengganu dan pendalaman Kedah, PRU13 (2013) pula menyaksikan perubahan asas sokongan yang kontras dan ketara.

 

PRU13 – kemuncak anjakan asas sokongan Pas

PRU13 (2013) menyaksikan Selangor telah mengambilalih status penyumbang utama dan terbesar undi Pas. Asas sokongan undi Pas telah berganjak ke Hulu Langat, Kota Raja dan Shah Alam.

Manakala kerusi tradisi seperti Tumpat, Kuala Terengganu, Marang, Kota Bharu dan Baling sudah teralih ke lapisan kedua (second tier). Purata asas etnografi sokongan PAS pada PRU7(1986) di tahap 90% Melayu telah berganjak ke tahap 72% Melayu pada PRU13 (2013).

Sokongan Pas mula berganjak dari demografi konservatif ultra melayu kepada kerusi campuran. Pas sudah memasuki medan perdana dan diterima sebagai rakan kongsi masyarakat majmuk.

 

Sokongan Pas kembali ke era 1980an

Keseluruhan undi (Parlimen) Pas pada PRU14 ialah 2,041,105 undi. Sepuluh penyumbang tertinggi undi Pas datangnya dari Parlimen Marang, Tumpat, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman, Kuala Nerus, Bachok, Kubang Kerian, Baling dan Setiu.

Enam dari penyumbang ini tertumpu di Terengganu, di dahului oleh Marang. Kecuali Baling yang terletak di pendalaman Kedah, sembilan dari sepuluh kerusi utama terletak di sepanjang pantai Terengganu dan Utara Kelantan.

Melihat trend sejak PRU7 (1986), boleh dirumuskan bahawa terdapat anjakan yang ketara terhadap asas sokongan undi Pas, asalnya dari Pengkalan Chepa dan Kelantan amnya pada tahun 1986, kemudian beralih ke Hulu Langat dan Selangor amnya pada tahun 2013, dan akhirnya kembali ke Marang dan Terengganu amnya pada tahun 2018,  boleh digambarkan dengan lebih jelas dengan peta berikut;

Pas yang pada awal dan asalnya mampu bertahan di kawasan tradisi dan ultra konservatif Melayu di Kelantan Utara, kemudian melalui anjakan ke medan perdana memasuki masyarakat majmuk dan kerusi campuran di Lembah Kelang, kemudian kembali serasi semula ke tempat asal ultra konservatif Melayu ke pesiriran pantai Marang.

Adalah tidak keterlaluan jika dibuat kesimpulan bahawa Pas di ambang era 2020an telah kembali ke era 1980an.

Nazri Noor 29/5/2018