Pas digesa tidak ‘perjudi’, ‘cagar’ wanita untuk pilihan raya

Pas digesa tidak ‘perjudi’, ‘cagar’ wanita untuk pilihan raya

Pas tidak sepatutnya menjadikan wanita atau isteri seperti cagaran maupun diperjudikan kerana hendak mengikat kesetiaan (baiah) calon-calon ang bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun ikatan seperti ini dilihat sebagai ‘artificial’ kerana yang terlibat kemungkinan besar merasa terbeban seolah-olah dipaksa untuk berbuat demikian.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Mohd Taufek Abd Rahman ketika ditemui semasa majlis kutipan dana pilihan raya Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Kebajikan, Kemanusiaan, Bencana Alam dan Kesihatan AMANAH Negeri turut berkata, melafaz ‘Akujanji’ sepertimana yang lazim dipraktikkan oleh kebanyakan organisasi adalah lebih relevan dan memadai.

“Walaupun isu tersebut merupakan hal dalaman Pas, tetapi ia memberi impak kepada masyarakat maupun orang Islam.

“Pendekatan yang diambil oleh mereka agak ekstrim kerana ia membabitkan rumah tangga ‘bahagia’ yang telah dibina sejak sekian lama.

“Tiba-tiba isteri calon pula dipertaruhkan seolah-olah ia diperjudikan kerana hendak mengikut kehendak pimpinan tertinggi parti, ” ujarnya.

Oleh kerana itu jelasnya, adalah tidak wajar isteri dan wanita yang menjadi tongkat kepada keharmonian rumah tangga cuba diruntuhkan dengan baiah sedemikian menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah mendakwa ia belum dibincang dengan khusus, namun begitu secara prinsipnya parti akan kekalkan baiah tersebut kepada semua calon.

Sebelum ini juga terdapat pelbagai pihak yang beranggapan pendekatan baiah yang dipraktikkan oleh Pas sudah lapuk dan ketinggalan zaman serta menjadikan isteri sebagai pertaruhan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mendakwa baiah yang dilaksanakan bukan untuk mencari keredhaan manusia termasuk menipu, jauh sekali mencari keredhaan sesiapa sahaja termasuk yang tidak beriman.

Malah ia juga bukan bertujuan untuk meramaikan pengikut serta memancing undi kerana mahu menang pilihan raya sahaja.

Sejarah juga telah membuktikan baiah yang dijadikan syarat oleh Pas untuk memaksa wakil rakyatnya tidak meninggalkan parti walaupun telah memenangi pilihan raya tidak menjadi realiti.

Buktinya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah serta ramai lagi Adun dan Ahli Parlimen Pas telah keluar parti dan menyertai AMANAH.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0