Malaysia Dateline

PAS diingatkan jangan bawa politik perkauman di Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal mengingatkan pemimpin politik terutamanya PAS agar tidak mengeluarkan kenyataan yang melampau hingga boleh memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, kenyataan bersifat perkauman adalah bukan langkah yang harus dilakukan jika ingin melihat negara ini maju ke hadapan.

“Jika rakyat tidak belajar apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Timur Tengah yang mempunyai amalan perkauman yang tebal serta ektremisme agama, maka perpaduan dan kemakmuran tidak akan dapat dikecapi.

“Ini yang kita mahu dan ia satu petanda yang baik. Kalau kita bertindak menggunakan isu-isu yang memecah belahkan kaum dan agama, perpaduan kaum tidak akan dikecapi,” ujar beliau

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika berbahas di Dewan Rakyat mendakwa kitab Injil yang digunakan masyarakat Kristian di negara ini telah terpesong.

Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan masyarakat Kristian termasuk pemimpin gereja seluruh negara yang mendesak supaya Ahli Parlimen terbabit untuk memohon maaf.

Shafie menegaskan, kenyataan yang melampau tidak seharusnya dikeluarkan kerana tidak mendatangkan kebaikan kepada masa depan generasi masa depan.

Tambah beliau lagi, seseorang pemimpin tidak boleh hanya bergantung kepada landasan politik semata-mata kerana itu boleh menghancurkan perpaduan kaum yang ada.

“Untuk mengekalkan perpaduan, kita perlu bersatu dalam membina negara dan bangsa. Jangan ada keterlaluan dan kesempitan.

“Jangan disebabkan ingin berkuasa dan inginkan sesuatu, kita ketepikan keharmonian yang ada pada hari ini.

“Kita perlu pelihara perpaduan hari ini demi kepentingan generasi akan datang. Sekiranya kita tunjukkan contoh yang buruk, itu akan mendatangkan bahaya kepada kita,” jelasnya

Katanya, sekiranya kaum dan agama menjadi pegangan tanpa batasan tanpa memikirkan kepentingan nyawa manusia, pembunuhan pasti akan berlaku kerana wujud ektremisme dalam kalangan masyarakat.