Malaysia Dateline

Pas dijangka beri peruntukan calon bukan Islam di peringkat pusat

 

Penganalisis politik, Hisomuddin Bakar berpendapat Pas dijangka akan memperuntukkan kerusi yang ditandingi kepada calon bukan Islam di peringkat pusat dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre itu, peruntukan calon bukan Islam itu adalah sebagai strategi Pas untuk menarik sokongan pengundi segmen tersebut.

“Jika kita lihat, ada kemungkinan besar model peruntukan calon bukan Islam ini akan diguna pakai Pas bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat pusat.

“Ini untuk meyakinkan pengundi bahawa Pas tidak mengetepikan golongan bukan Islam bukan sahaja di peringkat parti tetapi juga gabungan yang diketuai mereka iaitu Gagasan Sejahtera,” dipetik daripada Astro Awani.

Hisomuddin Bakar

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Pas Pahang memperuntukkan 10 peratus calon bukan Islam bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kelmarin, Pas Pahang memberitahu peruntukan kepada calon bukan Islam itu akan diisi daripada anggota Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang akan dipilih.

Bagaimanapun, Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar dilapor berkata, pelaksanaan pendekatan itu bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) bergantung pada keadaan semasa.

Mengulas lanjut, Hisomuddin menyifatkan Pas perlu melihat beberapa aspek untuk mencapai hal tersebut memandangkan pengundi bukan Islam bukan sekadar melihat pada faktor calon sahaja.

“Tidak semestinya mereka akan mengundi calon bukan Islam yang diletakkan Pas.

“Mereka ingin melihat sama ada polisi yang direncana parti serta tawaran-tawaran manifesto parti sesuai dengan keperluan mereka. Ini yang menjadi penentu,” jelasnya.

Beliau juga menambah setakat ini tiada sebarang nilai tambah yang dibawa oleh parti-parti komponen dalam Gagasan Sejahtera bagi menarik sokongan pengundi bukan Islam.

Terdapat tiga parti yang bersama Pas dalam membentuk Gagasan Sejahtera iaitu Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Terdahulu, pimpinan Pas turut mendakwa sebanyak 200 badan bukan kerajaan (NGO) turut berada di bawah Gagasan Sejahtera yang diumumkan secara rasmi pada 13 Ogos 2016.

PRU-14 bakal menyaksikan penampilan Pas tanpa kerjasama parti pembangkang lain sekali gus mengundang pertembungan dengan calon Pakatan Harapan dalam menentang BN.

Pas pada masa ini kerap menganjurkan siri perhimpunan dari semasa ke semasa membabitkan kerahan ahli di seluruh negara termasuk Fastaqim 2.3 dengan jangkaan penyertaan lebih 12,000 jentera pilihan raya Pas Pahang pada 20 Januari depan.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Pas hanya memenangi 14 daripada 73 kerusi Parlimen ditandingi bahkan kehilangan kerajaan negeri Kedah yang diterajuinya hanya sepenggal.

Ketika itu Pas berada dalam gabungan Pakatan Rakyat dengan buat pertama kali blok pembangkang itu memenangi undian popular.