Malaysia Dateline

Pas dipermain Umno, akan hilang Kelantan – Daim

Daim ZainuddinBekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin (foto) menjangkakan bahawa Pas akan kehilangan Kelantan pada pilihan raya umum 9 Mei ini.

Dalam satu wawancara dengan akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau, Daim juga berkata bahawa Pas tidak akan menang banyak pada kali ini dan oleh itu, mereka tidak akan menjadi ‘kingmaker’ atau ‘pembuat keputusan’.

Beliau menjelaskan bahawa pengundi hari ini melihat pemimpin Pas terlalu rapat dengan Umno, yang suatu ketika dahulu ditolak terus oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lapor Malaysiakini.

“Akhir-akhir ini, kamu lihat bahawa ketiga-tiga anak bekas pemimpin Pas memilih untuk meninggalkan parti itu.

“Terdapat perpecahan dalam parti itu, mereka tidak boleh menerima apa terjadi kepada Pas hari ini, ” kata Daim.

Beliau berkata sejarah membuktikan bahawa Umno sering mengambil kesempatan ke atas Pas, terutamanya apabila parti pemerintah itu adalah lemah, tetapi mengketepikannya apabila mereka tidak lagi memerlukannya.

“Sama dengan Akta 355… pemimpin (Pas) tahu ini permainan politik Umno.

“Malangnya, mereka beri penyokong (mereka) harapan palsu,” katanya, merujuk kepada usaha Abdul Hadi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.

Walaupun pentadbiran Najib membenarkan usul itu dibentangkan pada 2016, namun Dewan Rakyat tidak pernah mengundi mengenainya dan rang undang-undang itu kekal terumbang-ambing.

Sementara itu, Daim juga tidak menjangkakan kemungkinan Umno dan Pas membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau berkata Umno perlu mengambil kira perasaan parti bukan Islam lain dalam BN, termasuk mereka dari Sabah dan Sarawak.