Malaysia Dateline

Pas dulu semua mahu langgar, sekarang RUU 355 tanam di jirat?

Tiba-tiba sahaja, sebaik bersekongkol dan menjadi sebahagian daripada kerajaan tebuk atap — yang tidak pernah mendapat mandat rakyat dalam mana-mana pilihan raya — Pas seolah-olah menjadi rasional dan bertindak waras.

Pas seperti sudah menemui jalan tengah yang sederhana, bijak membaca Perlembagaan Persekutuan, tahu memahami sensitiviti sekutu-sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) yang tiada berstruktur itu. Bagaikan Pas baru mengenali kerencaman politik Malaysia dan aneka ragam kemajmukan penduduknya.

Selepas berkongsi kuasa melalui pintu belakang dan turut memanipulasi aksi pengkhianatan, Pas mulai bercakap tentang adab ketertiban, menghormati institusi penting dalam masyarakat, walhal dahulu, pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH), situasi berbeda sepenuhnya.

Semasa menjadi pembangkang selama 22 bulan itu, segalanya mahu dilanggar. Tiada pantang-larang, tiada urutan keutamaan, tiada sekatan Perlembagaan, tiada persoalan tradisi zaman-berzaman, tiada faktor istana dan raja-raja Melayu, tiada proses lazim undang-undang.

Asalkan dapat palitkan imej buruk tidak Islamik, dengan dirangkai dakwaan kononnya kepentingan Melayu dan survival Islam terjejas, semua persoalan seperti Tabung Haji (TH), ICERD (yang sudah ditolak kerajaan PH), lantikan bukan Islam ke posisi penting pentadbiran, kematian anggota bomba Adib, jualan aset negara, DAP dalam jemaah menteri, kontroversi pengajaran Jawi, layanan terhadap golongan LGBT dan pelbagai isu lagi, dipakejkan secara borong-mudah demi memburuk-burukkan kerajaan.

Apabila diminta agar sedikit lunak bahawa semua kontroversi itu seharusnya dilihat secara terbuka, berpandangan jauh, berkepala dingin, merujuk realiti Malaysia, maka pemimpin Pas khususnya akan bingkas melenting, malah terus melemparkan hukuman terhadap kerajaan PH.

Pemerintah ditohmah mengamalkan Islam liberal, tidak bersikap tegas dengan golongan yang menghina agama, dikuasai dan menjadi khadam DAP, memberi muka kepada puak kafir dan macam-macam lagi.

Pakej menyelamatkan Tabung Haji (TH) yang terbukti “sakit” pada zaman BN sebelum PH mengambil alih pentadbiran negara, dilabel sebagai “dijual kepada taukeh Cina”.

Kecaman melulu itu sehingga menjadi tema utama dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid tertentu oleh pemimpin Pas. Dalam media sosial dan grup WhatsApp bertambah galaklah fitnah dan penbohongan itu sambung menyambung.

Kes paling klasik ialah berkaitan rang undang-undang (RUU) pindaan Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 atau RUU 355 yang sudah beberapa kali dibawa Presiden Pas dalam sidang Parlimen tetapi tidak sempat (atau sengaja dilengah-lengahkan) dibahaskan.

Kepada khalayak penyokong Pas, RUU 355 itu digambarkan seumpama hukum hudud; sesiapa yang mempersoalnya walaupun bertujuan mendapat penjelasan lanjut atau mahu pendekatan lebih sesuai-praktikal akan dilabel sebagai penentang Islam.

Malah, seorang ketua kawasan Pas di Kedah dalam kuliah agamanya membawa contoh, sekiranya Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak bersetuju dengan RUU 355 itu dalam pengundian di Parlimen nanti, “dan selepas itu Kak Wan meninggal dunia, jasadnya kami kebumikan di jirat (bukan Islam)”.

Ucapan itu menjadi tular tetapi rasanya tiada sebarang penafian (atau teguran daripada pimpinan tertinggi Pas) dibuat.

Padahal, ia melibatkan soal aqidah yang cukup serius. Menyedihkan apabila isu berkait keimanan seseorang boleh menjadi senda-gurau.

Sebenarnya saya boleh dan mudah untuk memahami bagaimana Pas menentukan sikap politiknya, berdasarkan situasi semasa dan kepentingannya, juga bergantung dalam posisi mana tahaluf siyasi dibentuk.

Apabila Pas menjadi sekutu PN atau sebelum itu Muafakat Nasional, sudah pasti ia mengambil kira sensitiviti anggota komponen yang lain. Sesungguhnya ia sikap biasa mana-mana parti politik yang mengadakan kerjasama atau menjalin persefahaman.

Cuma janganlah ketika mula membawa RUU 355 dahulu, seolah-olah itu adalah soal hidup-mati Pas, kononnya ia tiada pertimbangan politik, semata-mata atas tuntutan agama.

Apabila pihak lain mencadangkan pendekatan lain yang dikira lebih bijaksana, juga demi memartabatkan atau memperkasa Mahkamah Syariah, idea berbeda itu bukan sahaja ditolak tetapi ditohmah dengan gelaran yang jelik.

Pas seharusnya berpada-pada memainkan sentimen para penyokongnya. Harus ada batas dan hadnya. Dalam isu RUU 355 itu, bukankah dari awal, banyak pihak mengingatkan ia merupakan perangkap strategis Umno untuk memecah-belahkan barisan pembangkang,

Pakatan Rakyat, yang menunjukkan prestasi lebih baik dalam PRU-13. ‘Hudud’ sentiasa menjadi titik paling lemah membabitkan koalisi Pas-DAP.

Namun, Pas tetap meredah perangkap politik yang dipasang Umno itu. Mujur di kala itu, Umno-Najib juga berdepan skandal kewangan terbesar, 1MDB.

Rupa-rupanya tabiat Pas yang “menunggang” agama demi meraih kepentingan politik tidak pernah surut. Hukum boleh berubah-ubah di tangan pemimpin-ulamak Pas.

Lebih menyedihkan apabila pengikut dan penyokong Pas hanya mengikut sahaja arahan atau “fatwa” pemimpin mereka; seolah-olah sudah hilang pertimbangan waras.

Antara penyokong Pas yang menyertai demonstrasi menuntut pindaan RUU 355 tiga tahun lalu.