PAS tidak mahu beri kuota ahli majlis PBT kepada Amanah

PAS tidak mahu beri kuota ahli majlis PBT kepada Amanah

Pas Selangor tidak akan memberi laluan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mendapatkan kuota ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di dalam kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kemarahan akan timbul di kalangan ahli Pas di peringkat akar umbi sekiranya parti memberikan laluan.

“Baru-baru ini di dalam pemilihan nazir masjid, calon-calon Pas yang berkebolehan tidak dipilih oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), walhal calon-calon Umno dan Amanah telah terpilih.

“Jika Pas diminta memberi laluan pula untuk ahli majlis, ahli-ahli Pas di Selangor akan bertambah marah lagi,” katanya dipetik dari Sinar Harian Online.

Katanya, kuota seharusnya diminta daripada DAP dan bukan Pas yang tidak ada hubungan politik dengan Amanah.

“Pas tak ada hubungan dengan Amanah dan kuota sepatutnya diambil dari DAP yang ada hubungan baik dengan Amanah.

“Saya bimbang dengan perkembangan ini kerana ia akan memberi kesan kepada hubungan baik sedia ada di antara ketiga-tiga parti di dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Pas akan kekalkan bilangan kuota sedia ada dan tidak akan memberikannya kepada Amanah.

Katanya, terpulang pada PKR dan DAP untuk menyerahkan kuota masing-masing kepada parti baru berkenaan.

“Amanah bukan sebahagian daripada kerajaan negeri dan mereka tidak mewakili suara rakyat,” katanya.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa Pas dan DAP memberi laluan kepada Amanah dalam isu pengagihan dan pelantikan ahli majlis PBT.

Beliau berkata, hal tersebut sudah dimaklumkan dalam Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini yang turut diwakili oleh PKR, DAP dan Pas.

TAGS