‘Pas for all’ dan ‘Selamatkan Malaysia’ jadi tema kempen saat akhir Pas

‘Pas for all’ dan ‘Selamatkan Malaysia’ jadi tema kempen saat akhir Pas

‘Pas for all’ yang digunakan ketika Pas bersama Pakatan Rakyat dahulu serta ‘Selamatkan Malaysia’ terus menjadi tema kempen para penyokong Pas di saat akhir dalam pilihan raya ini.

Menjelang berakhirnya tempoh kempen tengah malam ini, sekumpulan penyokong Pas dilihat terus berkempen mengajak pengundi di Sungai Besar memilih calon parti itu esok.

Kira-kira 10 penyokong terbabit mengangkat plakad di luar pagar utama Masjid Hashimiah, Kampung Sungai Limau selepas solat Jumaat hari ini.

Antara ungkapan tertera, “Undilah Pas Bakti Untuk Semua” serta sepanduk menolak cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, beberapa sepanduk yang diangkat masih tertera slogan, “Pas For All” yang cukup signifikan pada musim Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu serta sewaktu Pas belum berpecah dan diterima pelbagai kaum ketika itu.

Turut menarik perhatian, ungkapan “Selamatkan Malaysia” juga digunakan pada plakad Pas ketika parti yang kini dilihat mesra Umno-BN itu bersendirian dan bukan sebahagian Pakatan Harapan.

Akhbar Harakah Bil 2157 Edisi Jumaat juga diedarkan kepada jemaah yang berjalan keluar dari masjid.

Walau bagaimanapun, flashmob kumpulan penyokong Pas terbabit yang difahamkan dari Selayang itu hanya bertahan beberapa minit kerana hujan semakin lebat.

COMMENTS

Wordpress (0)