Malaysia Dateline

Pas gagal jaga keadilan kaum, agama lain di Malaysia

Pas yang sering mengangkat slogan ‘Pas for all’ ternyata gagal mengotakan kata-kata mereka sendiri secara praktikal apabila Setiausaha Kebangsaan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), S. Barathidasan bertindak keluar secara rasmi daripada parti itu.

Timbalan Pengerusi Biro Integrasi Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional Arulselvi Nathan berkata, tindakan tekad beliau jelas membuktikan bahawa Pas telah gagal mengotakan janji-janji manisnya terutamanya kepada ahli-ahli DHPP.

“Tindakan berani ini perlu dipuji dan sudah tentu ia bertitik tolak daripada kesedaran serta perhitungan prinsip dan moral perjuangan masyarakat bukan Islam, yang akhir-akhir ini sering dilayan sebagai minoriti mengancam dan warganegara kelas kedua dalam masyarakat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, ibarat sudah terang lagi bersuluh, Pas dan pemimpin peringkat pusat ternyata gagal menjaga kepentingan dan kebajikan, bahkan sekaligus gagal membuktikan penghormatan mereka terhadap masyarakat bukan Islam khususnya di Kedah dan amnya di seluruh negara.

“Situasi menjadi semakin tegang sejak bermulanya isu kuil Hindu yang diroboh tanpa ada rundingan dengan kerajaan persekutuan.

“Belum sempat pun bahangnya reda, Menteri Besar Kedah pula, yang juga daripada parti Pas telah bertindak membatalkan cuti peristiwa sempena perayaan Hari Thaipusam baru-baru ini,” kata beliau.

Beliau tidak menolak tindakan DHPP itu juga menggambarkan Pas gagal memberi dan memastikan keadilan kepada kaum dan agama lain, sebaliknya galak berterusan memainkan sentimen prejudis kaum dan agama, sambil membayangkan seolah-olah wujud layanan pengkastaan dalam kedudukan warganegara Malaysia.

“Kepentingan kaum dan agama lain sudah tidak lagi diberi perhatian sebagai agenda parti tersebut.

“Kami ingin menzahirkan solidariti kami atas kekecewaan saudara S.Barathidasan dan mengalu-alukan sekiranya beliau dan rakan-rakan beliau berhasrat untuk menyertai Parti AMANAH, yang kekal konsistan untuk berani berprinsip dalam menyatakan sokongan dan pembelaan Amanah terhadap hak-hak masyarakat majmuk dan minoriti dalam Malaysia.

“AMANAH yang berpegang kepada prinsip Islam Rahmat Untuk semua telah banyak meleraikan permasalahan yang berkaitan masyarakat bukan Islam, sekalipun mereka terus menjadi sasaran serangan propaganda jahat, fitnah dan adu domba kaum dan agam.

“Ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat semua kepimpinan AMANAH yang jelas menjadikan ajaran sebenar Nabi Muhammad saw sebagai ikutan dan panduan mengurus keunikan ciptaan Tuhan yang penuh dengan kepelbagaian,” katanya.

Justeru beliau berkata Malaysia ini perlu dibangunkan dengan semangat patriotik jujur dan tulus untuk negara, sambil ikhlas memelihara dan melebarkan semangat saling memahami, saling menghormati dan saling mengasihi di antara semua masyarakat berbilang yang menjadi keunikan dan kehebatan Malaysia.

“Bak kata pepatah Inggeris, “Better late than never”, kami berdoa semoga lebih ramai akan sedar keunikan dan keistimewaan Parti AMANAH yang senantiasa komited dan ikhlas meletakkan nilai-nilai murni sejagat yang menjadi teras sebenar Islam sebagai asas perjuangan membina semula negara,” katanya.

Semalam, Barathidasan mengumumkan meninggalkan parti dan melepaskan semua jawatan yang disandang dalam dewan berkenaan.

Ini selepas dia mendakwa menghadapi kesulitan membawa suara bukan Muslim melalui platform itu.

Sebelum ini Presiden Pas Abdul Hadi Awang sering melaungkan peranan DHPP penting sebagai jambatan yang menghubungkan PAS dengan bukan Islam merentasi kaum dan bangsa.