Malaysia Dateline

Pas gagal selamatkan PMBK Sawit, PH berjaya selamatkan TH

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 mendedahkan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK Sawit Sdn Bhd) mempunyai kedudukan kewangan yang lemah dan mengalami kerugian berterusan sejak tahun 2012.

Jabatan Audit Negara (JAN) turut mendedahkan PBBK Sawit menjual Ladang Hijau untuk membayar hutang demi menyelamatkan PMBK Sawit daripada terus kerugian.

Kerajaan negeri Kelantan juga ditegur ekoran PMBK Sawit dinilai gagal mencapai sepenuhnya objektif untuk menambah pendapatan negeri, menyediakan peluang pekerjaan serta mengembangkan industri perladangan dan komoditi.

Mengulas pendedahan JAN itu, aktivis Aman Muhammad berkata, PMBK Sawit gagal diselamatkan sehingga terpaksa tutup dan pekerja diberhentikan selain secara senyap-senyap menjual aset PMBK Sawit.

Sehubungan itu, beliau menegur media Pakatan Harapan (PH) terutama AMANAH yang dilihat seolah-olah tidak tahu langsung untuk melawan fitnah dan pembohongan Pas berkaitan isu penjualan aset.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 dedah kepincangan urus tadbir kerajaan Pas Kelantan.

“Kenapa PH terutamanya AMANAH tidak tonjolkan isu ini? Di saat Pas menyebar fitnah kebencian kononnya PH jual aset negara, sedangkan Pas sendiri secara diam-diam jual aset negeri untuk bayar hutang syarikat yang disebabkan oleh kelemahan pentadbiran mereka selama ini.

“Kenapa PH terutamanya AMANAH terlepas pandang mengenai perkara ini? Kenapa tidak buat perbezaan, ‘PH jual aset TH, TH berjaya diselamatkan. Pas jual aset PMBK Sawit, PMBK Sawit gagal diselamatkan sampai tutup dan rakyat hilang pekerjaan’? tegasnya.

Pas Terengganu lebih teruk

Selain Pas Kelantan, Aman berpendapat prestasi kerajaan Pas Terengganu juga jauh lebih teruk apabila lebih 50 anak syarikat negeri ditutup.

“Ambil contoh anak syarikat kerajaan Terengganu Chicken Cottage. Pada awal-awal bukan main Samsuri sembang nak selamatkan Chicken Cottage dengan slogan ‘peremajaan semula’.

‘Tapi akhirnya tutup jugak Chicken Cottage, pekerja diberhentikan. Kenapa PH terutamanya AMANAH berdiam diri tidak tonjolkan isu ini?” tegurnya.

Malah, kata Aman banyak aset Khazanah dijual sejak Pas menjadi kerajaan, antaranya aset dalam Tenaga Nasional, Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) dan Telekom pada April dan Mei lalu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pentingnya AMANAH tersusun dalam melawan naratif Pas.

” Ingatlah, kejahatan ulamak jahat Pas yang tersusun akan mengalahkan PH yang berterabur terutamanya AMANAH walaupun berada di pihak yang benar,” nasihat Aman lagi.