Malaysia Dateline

Pas gagal sepenuhnya martabatkan Islam selepas lebih setahun rampas kuasa

Kegagalan Pas melaksanakan apa yang disebut, dilaung berulang-kali sebelum menjadi kerajaan, cuba dijustifikasikan dengan mengatakan bahawa Pas hanya parti kecil dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan hanya memiliki tiga menteri penuh.

Perkara ini menyebabkan Pas tidak berupaya untuk melaksanakan hukum hudud, Pas tidak berupaya menaik taraf mahkamah syariah dan juga tidak berupaya mengheret pembunuh Adib ke pengadilan, apatah lagi menghapuskan hutang PTPTN yang dijanjikan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun Pas berupaya mengkayakan kroni, juga berupaya mengaut gaji besar melalui GLC selain banyak jawatan lantikan politik dalam kerajaan dengan mewah sekali.

Pas juga berupaya melantik seorang warganegara Britain sebagai Pengerusi beberapa GLC hingga seorang individu bukan warganegara memperoleh gaji hingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Walau bagaimanapun, alasan yang diberi Pas hanyalah dalih dan alasan yang dicipta semata-mata untuk menutup bukan sahaja kelemahan, tapi pembohongan Pas selama ini.

Pas hakikatnya tidak berjuang untuk agama, apatah lagi untuk rakyat ia hal yang sangat jauh. Mereka sebelum ini mendakwa AMANAH, parti yang meninggalkan perjuangan Islam, tetapi hanya pada zaman Menteri agama dari AMANAH, Dr Mujahid Yusof Rawa , telah dibentangkan RUU Guaman Syarie 2019 dan RUU itu akan menjadi undang-undang yang akan mentadbir dan menyelia profesion guaman syarie khususnya di Wilayah Persekutuan sekali gus menaikkan lagi profesion guaman syarie.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyebut Rang Undang-Undang (RUU) Guaman Syarie 2019 akan menjadi pencetus kepada usaha memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini.

Nah, itu yang berjaya dilakukan oleh AMANAH/ Mujahid. Apakah AMANAH memiliki ramai Menteri dalam Kabinet?

Tidak juga, hanya lebih sedikit dari Pas dan Ahli Parlimen AMANAH hanya 11 orang berbanding Pas, 18 orang.

Itu perbandingan dengan AMANAH, tapi tahukah anda dalam soal “memartabatkan agenda Islam”, hatta DAP lebih terkehadapan berbanding Pas.

Pada 2016 iaitu ketika DAP masih pembangkang, mereka menggesa kerajaan BN ketika itu menghentikan cabutan undi nombor ekor, ketika mendapat kerajaan pada 2018 kurang setahun DAP kurangkan nombor cabutan dari 22 kali kepada 14 kali, kemudian turun lagi kepada lapan kali.

Itu kurang setahun, belum lima tahun.

Tapi lihat bagaimana sikap Pas, apabila kerajaan PH turunkan jumlah cabutan dari 22 kepada 8 mereka cuba menjadi juara mahu hapuskan semua bukan kurangkan sahaja.

Kononnya usaha hapus judi adalah usaha Pas sejak lama, kononnya menteri agama PH kena beri komitmen lebih, tetapi usaha DAP untuk hapuskan judi ini dihancurkan Pas apabila PN berkuasa, cabutan nombor ekor yang telah dikurangkan kepada lapan dinaikkan kembali kepada 22 kali.

Marzuk Shaary telah menjadi timbalan menteri agama namun langsung hingga kini tiada perubahan, bukan hapuskan judi, makin tambah lagi.

Jadi, mereka hanya boleh sembang berdegar saat menjadi pembangkang, namun menjadi tidak berupaya membuat perubahan ketika menjadi kerajaan, kononnya hanya ada tiga menteri.

Tetapi dalam PN, Pas memiliki Ahli Parlimen (MP) yang kedua tertinggi selepas Bersatu, itu pun sebab ramai MP lompat, jadi adakah suara 18 MP ini langsung tidak ada upaya dalam PN? Semuanya mati pucuk? Menjadi syaitan bisu?

Namun, semuanya bisa mengejar kekayaan, dengan lantikan menteri dan timbalan menteri walaupun kalah teruk PRU14, juga lantikan di GLC dengan gaji belasan, dan puluhan ribu ringgit sebulan. Pas beruapaya menggunakan Ahli Parlimennya untuk parti memperoleh manfaat namun tiada kelebihan untuk agama Islam.

Pas adalah parti yang gagal memartabatkan Islam, gagal memperjuangkan nasib rakyat. Hanya lebih kepada kantung sendiri.

Bahkan, Umno lebih baik dari Pas menggunakan Ahli Parlimen yang ada untuk menekan kerajaan PN akur tuntutan rakyat seperti kemudahan skim i-Sinar, iaitu pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan lapan juta ahli yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.

*MUAMMAR QADDAFI merupakan Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu.