Malaysia Dateline

Pas gagalkan formula kerjasama melalui MPPK

Pas dilihat enggan memberikan kerjasama yang sewajarnya terhadap langkah kerajaan pusat menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di peringkat negeri yang tidak ditadbir Pakatan Harapan (PH) seperti di Kelantan.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Ketereh, Ustaz Che Ibrahim Mohamed berkata, sikap pihak kerajaan negeri itu termasuk tidak memanggil anggota lantikan pusat untuk menghadiri mesyuarat menyukarkan usaha memperkasa program untuk masyarakat di peringkat akar umbi.

“Sebelum ini kita sudah cuba (formula kerjasama melalui MPPK). Bahkan dulu (ketika BN masih berkuasa), kita kata JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) kucar-kacirkan kampung.

“Sebab kita tidak suka wujudnya dua Tok Penghulu dalam satu mukim. Jadi apabila kita (PH) menang (di Putrajaya), kita cuba untuk meletakkan dalam sebuah kampung hanya seorang Tok Penghulu,” ujarnya.

Ketua AMANAH Kawasan Ketereh itu berkata demikian dalam program Dialog Pimpinan Pakatan Harapan Kelantan baru-baru ini yang turut dihadiri Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Sehubungan itu, Ustaz Che Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kerajaan PH di Putrajaya kerana mengembalikan semula kuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Persekutuan di Kelantan.

“Semenjak MPPK ditubuhkan berapa kali MPPK Tok Penghulu Pas panggil MPPK kita (lantikan pusat) untuk menghadiri mesyuarat ?

“Tiada. Buat balah ada. Setiap MPPK diberi peruntukan RM10,000. Berapa kali mereka bincang dengan kita tentang agihan peruntukan? Ada pakat dengan kita?” soalnya.

Malah, Ustaz Che Ibrahim berkata, anggota MPPK negeri sudah menganggap ahli mesyuarat sudah mencukupi tanpa memanggil pihak kerajaan pusat.

“Oleh kerana Pas tidak dapat menerima pendekatan kita untuk mewujudkan kerjasama dan perpaduan dalam satu kampung, maka kita tidak ada pilihan lain.

“Mulai tahun 2020 ini, kita akan mewujudkan semula MPPK Persekutuan di mana orang kita jadi pengerusi, setiausaha. Elaun RM500 (bagi pengerusi), RM300 (setiausaha) dan elaun mesyuarat kita akan bagi sama-sama kita.

“InsyaAllah, itu satu langkah memperkemaskan jentera PH dari bawah, kemudian kita akan susun di peringkat Parlimen dan negeri,” jelasnya.

Selain elaun bagi pengerusi dan setiausaha, Kabinet pertengahan tahun lalu juga bersetuju agar kadar elaun bulanan RM100 bagi pengurusan mesyuarat dan RM50 bagi kehadiran mesyuarat.

Bagaimanapun pembentukan MPKK didakwa dikuasai oleh wakil yang dilantik kerajaan negeri selain dana kerajaan persekutuan yang diterima disalahguna sebagai platform pergerakan program politik.