Pas  gesa kerajaan PH tingkatkan kelajuan jalur lebar di Sarawak

Pas gesa kerajaan PH tingkatkan kelajuan jalur lebar di Sarawak

Pesuruhjaya Pas Sawarak Jofri Jaraiee mengesa kerajaan Pakatan Harapan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sistem jalur lebar dengan kelajuan dua kali lebih pantas, pada separuh harga pada semua pusat pendidikan di negara ini.

Beliau berkata keputusan dibuat Kementerian Pendidikan untuk menamatkan serta merta perkhidmatan Internet TM Unifi di lebih 1,000 sekolah di negeri Sarawak amat mengecewakan para pendidik dan pelajar yang amat memerlukan perkhidmatan Unifi berkelajuan lebih 100Mbps.

Ditambah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyatakan mahu melaksanakan sistem jalur lebar dengan kelajuan dua kali lebih pantas, pada separuh harga tetapi sebaliknya mereka mengantikan dengan perkhidmatan jalur lebar Zoom YES dengan kelajuan minimum hanya 1Mbps hingga 4Mbps yang sudah tentu lambat untuk menampung keperluan pelajar yang ramai.

“Kami mengesa Perkhidmatan Unifi dan jalur lebar Internet perlu ditingkatkan dengan kelajuan lebih dua kali ganda dari sekarang dengan harga yang berpatutan.

“Kebanyakkan perkhidmatan jalur lebar yang digunakan di Malaysia agak lambat dengan harga yang agak mahal.

Kualiti perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar bandar juga perlu ditingkatkan kerana masih terdapat kawasan di mana sistem isyarat jalur lebar tidak dapat menerima isyarat maksimum dan juga pada kadar yang agak perlahan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Disamping itu kemudahan asas seperti elektrik dan juga bekalan air bersih untuk penduduk Sarawak perlu diberi keutamaan.

“Kami harap masalah ini dapat diberi perhatian oleh kerajaan Pakatan Harapan dan diatasi dengan segera oleh pihak yang berkenaan demi untuk memberi kemudahan kepada pengajar dan pelajar yang amat memerlukan perkhidmatan Unifi dan sistem jalur lebar yang lebih pantas dan lancar dengan harga yang berpatutan.

“Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini amat dihargai,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)