Pas gesa MP Islam sokong RUU 355

Pas gesa MP Islam sokong RUU 355

Pas berharap semua anggota Parlimen beragama Islam menyokong Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 demi kepentingan agama dan masyarakat Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya cadangan itu tidak mendapat sokongan majoriti daripada barisan anggota Parlimen, pindaan itu tidak akan dapat dilaksanakan meskipun mendapat sokongan padu rakyat.

“Memang harapan kita agar kesemua 135 orang anggota Parlimen beragama Islam yang terdiri daripada pelbagai parti politik, menyedari bahawa pindaan yang dibuat adalah untuk agama Islam dan bukannya demi parti politik.

“Isu ini merentasi sempadan politik, justeru saya menggesa agar semua anggota Parlimen beragama Islam memahami tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri “Perpaduan Ummah RUU A355: Realiti dan Persepsi” anjuran Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) di Sik, Kedah hari ini.

Pada 24 November lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Takiyuddin yang juga antara anggota panel pada forum itu berkata, forum berkenaan merupakan antara siri penerangan yang dijalankan sejak lebih setahun lalu, bagi memberi penerangan terhadap RUU 355 kepada masyarakat di seluruh negara.

“Pada sidang Parlimen pada Mac dan April ini, kita jangkakan Abdul Hadi akan dibenarkan membahaskan usul pindaan itu, jadi saya kira penerangan dan sokongan daripada rakyat di peringkat bawah ini perlu dibuat.

“Saya juga berharap agar mereka yang hadir hari ini akan menyampaikan penerangan kepada yang tidak hadir kerana ini adalah untuk kepentingan Islam, Mahkamah Syariah dan umat Islam,” katanya.

Forum terbabit turut dibarisi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku anggota panel serta Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM Prof Datuk Mahamad Naser Disa selaku moderator.

COMMENTS

Wordpress (0)