Malaysia Dateline

Pas gesa polis siasat, sekat gerakan LGBT

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menggesa pihak polis menyiasat dan menyekat gerakan agresif Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di negara ini.

Nasrudin berkata kumpulan yang telah difatwakan haram, Sisters in Islam adalah peserta yang hadir dalam perarakan tersebut.

Katanya sekiranya pihak kerajaan tidak mengambil tindakan drastik, tidak mustahil tuntutan mereka juga akan dituruti oleh pihak kerajaan tidak lama lagi.

“Sebelum ini, mereka (golongan LGBT) banyak berinteraksi dalam ruang sendiri termasuk di media sosial. Tetapi sekarang mereka sudah berani berarak dan melaungkan ‘Hidup LGBT’ secara terang-terangan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.

“Saya tidak menolak kemungkinan ini merupakan strategi mereka untuk menuntut hak legitimasi sempena 50 tahun perjuangan LGBT, (Stonewall) di New York,”katanya.

Pada tahun 1970, golongan LGBT (Stonewall) telah berarak secara besar-besaran untuk menuntut hak songsang sehingga pihak kerajaan Amerika Syarikat terpaksa tunduk kepada tuntutan mereka.

Melalui entri di Facebooknya itu, beliau meluahkan rasa kesal kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memberikan peruntukan sebanyak RM30 ribu kepada kumpulan ini.

“Rakyat boleh melihat tuntutan-tuntutan mereka sangat jauh daripada ajaran Islam dan adat masyarakat di Malaysia.

“Malah, Perdana Menteri juga telah menyatakan secara jelas bahawa LGBT tidak boleh diterima di negara ini,”katanya.

Beliau juga berkata kerajaan tidak boleh memberi peluang sebaliknya mesti menyekat gerakan agresif LGBT di negara ini.