Pas gesa rakyat P Pinang tolak DAP PRU14

Khalil mendakwa DAP anti-Islam dan wajar ditolak di Pulau Pinang

Pas menggesa rakyat Pulau Pinang agar membuat perubahan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan menolak DAP di negeri itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, DAP jelas anti-Islam.

“Marilah bersama-sama kita berazam untuk membuat perubahan.

“Ini seruan kita kepada rakyat Pulau Pinang. Kena buat perubahan. Di Pulau Pinang sudah cukuplah DAP. Kena ubah.

“DAP ini anti-Islam, jelas-anti Islam. Begitu juga dalam negara kita. Kita kena rehatkan Umno-BN,” katanya katanya dalam Himpunan Hijau anjuran Pemuda Pas Pulau Pinang di Kepala Batas, Ahad lalu.

Dalam pilihan raya lalu, Pas hanya menang satu kerusi negeri iaitu Permatang Pasir manakala di kerusi Sungai Acheh calon Pas hilang wang pertaruhan apabila berlaku pertandingan tiga penjuru dengan calon BN dan PKR.

Dalam pada itu, anak kepada Presiden Pas itu berkata, Pas bukan parti yang bertujuan menghukum orang lain sebaliknya tugas Pas adalah menasihat, membimbing, menegur dan memperbetul dasar yang salah.

Beliau berkata, Pas tidak berminat untuk menukar individu tetapi bermatlamat untuk merubah dasar.

“Pas bukan sebuah parti yang bertujauan menghukum orang lain. Orang itu baik, orang itu jahat, orang itu zalim, orang ini lebih zalim. Ini bukan kerja Pas. Kerja Pas adalah menasihat, membimbing, menegur memperbetulkan dasar yang salah,” katanya.

Beliau berkata, ini berbeza dengan perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan.

“Sekarang Pakatan Harapan berjuang menjatuhkan Najib dengan bermacam tuduhan yang dipamerkan. Apa tujuannya? Untuk menjatuhkan individu. Ini bukan perjuangan Pas. Perjuangan Pas adalah untuk merubah dasar dan polisi. Kalau ubah orang tapi dasar tak berubah tak berguna,” katanya.

CATEGORIES
TAGS