Malaysia Dateline

Pas hanya cari untung dengan politik dua kolam, kata bekas pemimpin Umno

Bekas pemimpin Umno, Datuk Zaharin Mohd Yassin mendakwa politik Pas ketika ini hanya mahu mencari keuntungan untuk diri mereka sendiri dan bukannya demi perjuangan.

Beliau berkata, ini dapat dibuktikan dari sikap parti Islam itu yang bukan sahaja selama ini minum dua kolam, tetapi sudah berkolam-kolam.

“Pada tahun 2015, berakhirnya kegemilangan Pas kerana banyak kali dah minum kolam. Bukan sahaja kolam oasis di padang Mesir. Di padang Sahara pun dia minum, semua kolam lah. Air sungai pun dia minum.

“Dia pernah bekerjasama dengan DAP, dengan Semangat 46. (kerjasama) dengan PKR dan kemudian sekarang dengan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi kerja dia ialah untuk memberi lembu-lembu dia atau pun kuda-kuda dia jangan dahaga,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di YouTube DDr Ismail Channel hari ini.

Zaharin berkata, rakyat sudah seharusnya melihat taktik politik Pas yang lebih kepada menguntungkan parti dan puak mereka.

Katanya, Pas akan minum kolam yang penuh racun jika terus dengan keadaan minum dua kolam untuk mendapat kelebihan.

“Dengan itu jika Pas terus dengan keadaan minum dua kolam dan berkolam-kolam kononnya untuk mendapat kelebihan dan dapat banyak rasa, dia juga akan terminum air kolam yang penuh racun,” katanya lagi.