“Nanti Pas juga jadi Itik patah kaki kerana jawatan menteri”

Oleh BORHAN AHMAD

Seorang demi seorang pemimpin Umno menyerang Pas ekoran kenyataan presidennya, Umno umpama itik patah kaki.

Terbaru, Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno yang agak rapat dengan Pas, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Pas hanyut kerana nikmat jawatan bertaraf menteri, menteri dan kerajaan pusat yang Pas sudah lama tidak merasanya.

“Sebab itu Pas sanggup meminggirkan dua tiga orang pemimpin atasannya yang pro MN seperti Khairuddin At Takiri, Nik Abduh dan Dr Marzuki,” dakwa Puad dalam tulisan beliau difacebooknya.

Menurut Puad, Pas tahu Umno tolak Perikatan Nasional (PN) kerana Bersatu tikam Umno dari belakang.

“Itu berlaku di PRN Sabah. Tetapi Pas tidak peduli itu semua. Pas tidak rugi apa apa,” kata Puad.

Menurut bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN dahulu itu, akan sampai masanya Pas akan ditikam dari belakang kerana tiada kejujuran politik dalam PN.

“Pada Umno, lebih baik jalan terus secara solo. Umno tidak rugi. Itu terbukti di PRN Malaka,” kata beliau.

Beliau mengingatkan Pas, jangan nanti Pas yang akan jadi itik patah kaki.

“Mungkin patah kedua dua kaki kerana bersekongkol dengan PPBM yang didominasi oleh katak politik.

“Ketika itu nasi sudah jadi bubur. Pas akan tenggelam dan mati lemas,” kata beliau.

Menurut bekas timbalan mengteri pengajian tinggi itu, susah berkawan dengan Pas.

“Sebab itu Pas tinggalkan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR),” kata beliau memukul sikap dan sejarah kerjasama Pas dengan pihak lain.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abndul Hadi Awang mendakwa Umno umpama itik patah kaki.

Menurut Hadi, Pas mahu selamatkan itik (Umno) yang patah kaki.

Malangnya bila kaki sudah sembuh, Umno mahu berenang sendiri.

Puad bertanya, siapa sebenarnya yang patah kaki dan mahu berenang sendiri?

“Ingat, Piagam Muafakat Nasional dimeterai dengan tangisan dan lenangan air mata di PWTC

“Sebenarnya Pas yang lemahkan MN bila sertai PN dan main dua lawang,” kata Puad.