Malaysia Dateline

Pas harap penjelasan Azam Baki dapat hentikan pihak yang sengaja bangkit isu

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berharap penafian Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dapat menghentikan pihak yang sengaja membangkitkan isu berkenaan.

Beliau dalam kenyataannya di Facebook, menyambut baik langkah Azam Baki yang secara terbuka memberikan penjelasan tentang dakwaan pemilikan dua juta unit saham

Langkah tersebut menurutnya amat tepat kerana ia berkaitan dengan integriti SPRM sebagai sebuah badan penguatkuasa pencegahan rasuah yang utama di negara ini.

“(Penjelasan Azam Baki) diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat sekaligus menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan ini juga, beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berasas.

“Sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu,” katanya.

Takiyuddin berkata, Pas yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai serta seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang.