Malaysia Dateline

Pas hendak kerjasama dengan parti perompak, selar Khalid

Tafsiran dan kenyataan yang dikeluarkan adalah mengelirukan dan diputar belit mengikut kepentingan politik apabila Islam digunakan sebagai alat politik, tegas Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Mengulas langkah ta’awun dan tahaluf siyasi antara Pas dengan Umno, beliau berpendapat keutamaan kepada Islam hanya alasan untuk mewajarkan kerjasama politik antara kedua-dua parti pembangkang itu.

“Dalam kes ini kita tahu, Pas hendak bekerjasama dengan parti perompak yang tiada integriti, banyak menipu dan mencuri duit.

“Tapi untuk mengatakan tindakan dia betul maka dikatakan Islam patut diutamakan terlebih dahulu daripada persoalan integriti.

“Apa yang dimaksudkan dengan mengutamakan kepentingan Islam terlebih dahulu? Sebabnya, kalau kita pentingkan Islam maka Islam mengajar kita integriti itu wajib, merompak itu haram.

“Maka kalau kita utamakan Islam, maka kita akan utamakan integriti daripada utamakan perompak,” ujarnya.

Menurut Khalid, Pas mengeluarkan pebagai kenyataan untuk mengiyakan tindakan mereka walaupun orangbukan ulama pun tidak boleh duduk semeja dengan perompak.

“Jika ulama duduk semeja dengan perompak, maka orang kata ulama ini menghalalkan perompak atau pun Islam itu menghalalkan perompak.

“Apa yang dia katakan itu menunjukkan seolah-olahnya begitulah. Kita (seolah-olah) tidak kisah sama ada perompak, melakukan kezaliman, menyeleweng, yang penting dia Islam.

“Walaupun ada orang bukan Islam yang baik, tolong orang Islam, tolong orang Melayu, kita kena tolong orang yang menzalimi orang lain kerana dia Islam.

“Tafsirannya begitulah. Hal ini berlaku apabila Islam dilihat sebagai satu bangsa atau pun agama yang diwarisi,” hujahnya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Abdul Samad (Siri 25) bertajuk, “Islam Dulu Baru Integriti?” dimoderatorkan Ashraf Wahab baru-baru ini.

Sehubungan itu, Khalid menyeru umat Islam agar mengutamakan nilai-nilai yang baik seperti diajar oleh Islam walaupun terpaksa menentang orang Islam kerana mencuri.

“Perjuangan Islam yang sebenar ialah perjuangan tentang keadilan. Kita kena lawan dia, kerana dia mencuri. Tak bolehlah kita katakan, dia mencuri tak mengapa, daripada Cina.

“Kalau kita ada sikap yang sebegitu, inilah yang dikatakan ekstremis keagamaan. Golongan ini tidak kisah betul atau tidak,” jelasnya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mengingatkan kehebatan Islam kerana berdiri di atas kebenaran dan keadilan.

“Orang yang melakukan kezaliman akan ditentang walaupun yang melakukan kezaliman itu orang Islam.

“Jadi, bagaimana untuk kita membantu saudara kita yang seagama melakukan kezaliman?” soal Khalid lagi.