Malaysia Dateline

Pas ibarat meludah ke langit, darurat perisai terakhir Muhyiddin

Pas mempunyai banyak dalil untuk menghalalkan apa sahaja kebatilan kerajaan Perikatan Nasional (PN), tegas Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Oleh sebab itu, katanya, kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa proklamasi darurat selaras dengan politik Islam bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

“Kenyataan Presiden Pas ini yang menempelak pembangkang kononnya berpolitik dalam isu darurat ini boleh diumpamakan meludah ke langit.

“Ini adalah kerana, darurat ini yang dianggap sebagai perisai terakhir Tan Sri Muhyiddin menyelamatkan legitimasi Perdana Menteri setelah beliau hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hadi berkata, pengisytiharan darurat bagi menyekat penularan wabak Covid-19 adalah berlandaskan konsep siyasah syar’iyyah (politik Islam).

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan darurat sebagai kawalan yang wajib ditunaikan oleh kerajaan berdaulat untuk sementara waktu dan berharap semua pihak perlu berhenti sementara berpolitik.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos nanti sebenarnya adalah bagi mengekalkan kuasa yang dirampas melalui tebuk atap dengan membelakangkan mandat rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang berkenaan turut mengingatkan reaksi Pas sebelum ini ketika rampasan kuasa di Perak, 12 tahun lalu.

“Jika rampasan kuasa di Perak pada 2009 dianggap zalim dan haram, adakah Langkah Sheraton pula dianggap adil dan halal?

“Sesungguhnya, cenderung kepada kezaliman itu akan disambar api neraka (Surah Hud ayat:113), adakah permohonan darurat bagi mempertahankan kudeta ini selaras dengan Islam?” bidas peguam tersebut.

Fatwa politikĀ 

Abdul Hadi Awang

Sehubungan itu, Faiz menasihatkan Abdul Hadi supaya jujur dalam mengeluarkan fatwa politik.

“Kedudukannnya (Abdul Hadi) sebagai Duta Khas Timur Tengah mempunyai signifikan besar di peringkat antarabangsa.

“Malaysia seharusnya terus mempertahankan keluhuran demokrasi dan bukan digambarkan autokrasi,” katanya.

Oleh hal demikian, tegasnya, jalur politik Melayu Islam yang dipropagandakan Pas dan kerajaan PN jelas hanyalah candu politik semata-mata bukan sesuatu yang jujur untuk rakyat.

PN pada masa ini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos nanti atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal selepas menerima Muhyiddin menghadap di Istana Negara pada jam 5.30 petang, 11 Januari lalu.

Sebelum ini, Muhyiddin buat kali pertama pada 23 Oktober tahun lalu menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang memohon perkenan pengisytiharan darurat di negara ini.

Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat ketika itu.