Pas iktiraf anak muda lantik jadi Setpol Presiden

Syahir Sulaiman

Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan pelantikan Syahir Sulaiman sebagai Setiausaha Politik (Setpol) baharu Presiden parti itu sebagai pengiktirafan kepada anak muda.

Menurutnya, Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Pusat berkenaan memang layak dan berkeupayaan untuk memikul tugas tersebut.

“Pelantikan (Setpol) ini menunjukkan mesej jelas dan besar yang mahu disampaikan oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden kepada seluruh organisasi parti mengenai pengiktirafan dan kepentingan memposisikan anak muda sebagai salah satu sayap penting sesebuah gerakan politik Islam.

“Meletakkan seseorang pada posisi tertentu tidak boleh hanya berdasarkan kepada senioriti atau dilantik sekadar memenuhi kuota atau sebagai ‘penghargaan’ atas jasa seseorang, namun ianya mesti berdasarkan kompetensi al-qawiyyul amin (ilmu, kSULAIMANemahiran dan keupayaan),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelantikan Syahir untuk jawatan tersebut berkuat kuasa hari ini menggantikan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang sekarang menjadi Menteri Besar Terengganu.

Lulusan Sarjana Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya (UM) dan memiliki Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga merupakan Penolong Naib Presiden di sebuah syarikat korporat terbesar di negara ini.

Sehubungan itu, Afnan berkata, menjadi kemestian kepada para Pemuda Pas berusaha serius untuk melengkapkan kompetensi diri sebagai pelapis kepimpinan kelak.

“Dewan Pemuda Pas siap sedia untuk melahirkan pelapis ini melalui modul kompetensi terkini yang disediakan oleh Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) dan Akademi Tarbiyyah (AKTAR).

“Jika Presiden terus mara melangkah ke hadapan, mengapa tidak kita?” tambah anak bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Datuk Taib Azamudden Mohd Taib itu lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0