Malaysia Dateline

Pas istiqamah sokong Mahiaddin

Pas menegaskan sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tengah malam tadi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kesemua 18 Ahli Parlimen parti itu juga meneruskan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut.

Dalam masa sama, Pas, katanya menerusi kenyataan petang ini, turut melahirkan kekesalan terhadap sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik dalam negara.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Pas kesal tindakan sedemikian boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara.

“Pas seterusnya menyeru seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung langkah-langkah kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, terutamanya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan,” tambah Abdul Hadi lagi.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tengah malam tadi memutuskan menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Mahiaddin.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga menyenaraikan tujuh kegagalan kerajaan PN antaranya gagal menangani pandemik Covid-19, menyalahgunakan darurat hanya untuk muslihat politik, mengurus kestabilan politik dan ekonomi serta memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung sidang Parlimen.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut berkata, Umno mendesak agar Mahiaddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

Ahmad Zahid turut menegaskan partinya tidak akan menyokong pencalonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Susulan keputusan Umno itu, kerajaan PN tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat apabila hanya berbaki 77 daripada 222 kerusi Parlimen.

Dalam masa sama, tiada mana-mana parti atau gabungan parti termasuk Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada masa ini, 77 kerusi daripada blok kerajaan terdiri daripada Bersatu (32), Pas (18), GPS (18), STAR (1), MIC (1), PBRS (1), PBS (1), MCA (2) dan Bebas (3).

Sementara itu, blok pembangkang kini menjadi 143 kerusi iaitu Pakatan Harapan (89) manakala Umno (38), Warisan (8), Bebas (5), PSB (2) dan UPKO satu kerusi.