Malaysia Dateline

Pas jambatan parti Melayu, perkukuh MN ‘kerja dalaman’ parti

Walaupun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin telah kehilangan sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri, Pas dilihat masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

Parti dengan 18 Ahli Dewan Rakyat itu dilapor akan meneliti hasil Mesyuarat Khas Kabinet yang dijadual berlangsung esok, sebelum menetapkan sebarang keputusan lanjut.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, bagaimanapun berkata, pendirian parti itu sekarang masih bersama untuk mendukung kerajaan PN.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, ketetapan parti dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, Ahli Parlimen dari parti Islam itu dan majlis syura berkenaan, semalam.

“Kita menegaskan dasar parti iaitu mempertahankan PN dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Pas kekal menjadi jambatan antara dua parti besar Melayu… Pas dan Umno serta menjadi jambatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya pada sidang media di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hari ini.

Dalam masa sama, Khairuddin yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas tersebut juga menegaskan partinya sebagai jambatan antara parti-parti Melayu iaitu Pas, Umno dan Bersatu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, Pas mempunyai pendekatan dalam memperkukuhkan MN yang tdak perlu didedahkan kepada umum.

“Demi kebaikan negara dan politik bagi jangka panjang, parti besar Melayu mesti bersama sebab ia tonggak kepada kerajaan, disusuli parti lain yang mempunyai kepelbagaian kaum.

“Bagaimana kaedah memperkukuh MN itu adalah kerja dalaman Pas yang tak boleh didedahkan kepada umum, walaupun Umno dan Bersatu dilihat tidak mencapai kesepakatan,” kata Khairuddin lagi.