Veteran Umno tegur Pas jangan dabik dada, Ahmad Bashah perlu satukan Umno negeri

Veteran Umno tegur Pas jangan dabik dada, Ahmad Bashah perlu satukan Umno negeri

Pas jangan mendabik dada dengan krisis kepimpinan yang berlaku membabitkan dua pemimpin tertinggi Umno untuk membuat jangkaan Umno-BN akan hilang sokongan majoriti rakyat di negeri itu, kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Abdul Rahman IsmailPas jangan mendabik dada dengan krisis kepimpinan yang berlaku membabitkan dua pemimpin tertinggi Umno untuk membuat jangkaan Umno-BN akan hilang sokongan majoriti rakyat di negeri itu, kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan media Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar semalam bahawa rakyat Kedah “sumpah seranah dan menyampah” dengan krisis kepimpinan di kalangan pemimpin Umno negeri itu yang tidak berintegriti, amanah dan bijak.

Abdul Rahman mengingatkan, sebagai seorang pemimpin politik, Mahfuz dan pemimpin pembangkang lain akan menggunakan kemelut yang berlaku untuk mengambil kesempatan kononnya orang Melayu di negeri itu tidak lagi menyokong Umno.

“Bukan Mahfuz saja kebanyakan pemimpin pembangkang di negeri ini memberikan reaksi yang negatif mengenai krisis kepimpinan di negeri ini.

“Mereka ini kerjanya akan menyesuaikan apa sahaja isu dalaman Umno untuk meraih sokongan rakyat Kedah khususnya untuk menyerang Umno yang dikatakan akan kecundang dan Pas akan kembali mentadbir negeri ini.

“Pas jangan dabik dada dengan krisis berlaku di Kedah untuk kembali mengambil alih negeri,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ditanya mengenai hasil kaji selidik Jabatan Penerangan Negeri dan tentangan di kalangan ahli akar umbi Umno yang memihak kepada Mukhriz dalam krisis politik yang berlaku, Abdul Rahman berkata, kajiselidik atau sokongan padu rakyat dan ahli akar umbi terhadap Mukhriz tidak boleh dijadikan ukuran untuk mengatakan majoriti rakyat menyokong Mukhriz berbanding Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar.

“Umno pastinya menilai dengan pandangan kolektif yang bukan bersifat individu untuk membuat sesuatu keputusan. Kajian itu sebahagian daripada suara rakyat dan Pas atau parti pembangkang lainnya tidak boleh membuat andaian kajian itu adalah suara majoriti rakyat Kedah.

“Jawapannya ‘ya’ atau ‘tidak’ daripada persepsi mereka, kita sama-sama tunggu pilihan raya,” ujarnya.

Abdul Rahman juga memberitahu Mukhriz ditolak oleh hampir semua Umno Bahagian dan sayap parti kerana kegagalan beliau untuk menjaga hubungan baik dengan pemimpinan dan akar umbi parti.

Justeru beliau menyeru para pemimpin Umno Kedah agar kembali ke landasan untuk menjernihkan hubungan antara dua penyokong bagi memastikan BN negeri Kedah tidak hilang kerusi dalam PRU14 akan datang.

“Masa cuma dua tahun lagi. Tidak lama mana pun. Inilah dugaan Ahmad Bashah merapatkan semula barisan kepimpinan dan menyatukan semua penyokong parti,” katanya.

TAGS