Malaysia Dateline

Pas jangan seret orang lain dalam masalah rumah tangganya, kata AMANAH

AMANAH meminta Pas tidak menyeret pihak lain dalam kemelut Menteri Besar Terengganu kerana ia masalah dalam rumah tangga Pas sendiri.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah berkata, “Masalah dalaman rumah tangga Pas jangan pula cuba dialih pandangan menyalahkan kepada pihak luar sebagai kambing hitam.”

Beliau berkata demikian selepas Pas cuba menyalahkan pihak lain ekoran krisis yang berlaku tentang kedudukan MB Terengganu itu.

Berita tersebar baru-baru ini tentang usaha menjatuhkan Menteri Besar Pas Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah menarik perhatian ramai.

Bagi mengelak dari perkara ini merosakkan imej Pas, mereka bertindak mengheret dan menyalahkan pihak lain, dakwa Pengerusi PH Terengganu itu.

Menurutnya, AMANAH antara pihak luar yang cuba dikaitkan oleh Pas dalam usaha menurunkan MB Terengganu.

“Yang menghairankan, dalam riuh rendah cerita dan gosip disebarkan, tidak kedengaran ikrar sokongan atau taat setia baik dari Pas sendiri.

“Sikap menyepi untuk berdiri teguh di belakang MB Terengganu dari Pas merupakan satu misteri kepada pucuk pimpinan Pas negeri dan nasional,” kata beliau.

Katanya, untuk mengalih pandangan dari isu yang kelihatan masalah dalaman keluarga Pas, Amanah pula dikaitkan tentang satu salinan ‘surat yang boleh mengugat’ kedudukan MB Terengganu yang sedang tersebar.

Umno sebelum ini telah mengeluar kenyataan menafikan terlibat , tetapi dalam masa yang sama tidak pula menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Lebih menghairankan, Adun Pas juga tidak mengeluarkan apa apa kenyataan berdiri teguh menyokong Datuk Samsuri sebagai Mentri Besar !” katanya.

Amanah pun, katanya, telah juga menafikan penglibatan dalam isu menurunkan Menteri Besar Terengganu, sama seperti Umno.

Sebabnya, kata ahli Dewan Negara itu, hanya Pas dengan 22 kerusi Dun nya sahaja boleh menentukan beliau boleh kekal MB atau tidak.

“Memang jelas Pas dengan 22 kerusi Dun dan Umno dengan 10 kerusi Dun, hanya Pas boleh menentukan nasib MB dan pengantinya pun akan datang dari kalangan Adun Pas.

“Tiada gunanya AMANAH atau Umno hendak menyebuk dalam hal menukar MB ini.

“Hanya kalangan Adun Pas sahaja yang layak menjadi penganti MB dan yang boleh menikmati ‘keuntungan’ kejatuhan Menteri Besar hari ini, dan eloklah tumpu siasatan ‘mastermind’ apa apa komplot kepada dalaman keluarga Pas,” katanya.

Menurut beliau, apabila seorang ‘Ayah’ – Presiden Pas, kurang sihat berada di hospital, anak anak di rumah keluarga Terengganu makin rancak kelihatan bercakaran berebut kuasa.

“Sepatutnya anak anak lebih bertimbang rasa dengan keuzuran seorang Ayah yang sedang uzur dengan tidak menambah masalah keluarga,” katanya.

Sekurang kurangnya, kata beliau, Adun Pas keluarlah kenyataan berdiri teguh bersama Datuk Samsuri yang dipilih oleh Presiden Pas sebagai MB Terengganu.

“Tetapi kenyataan itu pun tidak dikeluarkan,” katanya.

Bagi beliau, apa yang berlaku adalah, kadangkala nafsu dan tiada kesabaran untuk memegang kuasa mengatasi segala galanya.

“Jadi jelaslah penganti Menteri Besar jika beliau diturunkan, adalah dari kalangan dalaman keluarga Adun Pas yang menaruh minat dan bernafsu, dan bukan dari kalangan Umno atau lebih jauh sekali dari AMANAH,” katanya.

Sehubunaan itu, beliau berharap ahli dan penyokong Pas merenung sedalam dalamnya secara rasional dan lojiknya dan bukan secara emosi isu ini.

“Faham bahawa ini adalah isu masalah dalaman Pas itu sendiri.

“Penganti Samsuri hanya akan dinikmati dengan segala kuasa dan pangkatnya oleh Adun Pas yang ada hari ini, bukan orang luar,” katanya.