Malaysia Dateline

Pas juga puji langkah MBSA pulih peniaga kecil Sg Buloh

Pemuda Pas Selangor memuji langkah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila seramai 80 peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh akhirnya dibenarkan menjalankan perniagaan masing-masing dengan menggunakan permit penjaja sementara.

Ia susulan Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh oleh MBSA yang memberi peluang kepada peniaga untuk membuat permohonan permit berkenaan.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, usaha MBSA itu sebagai satu langkah yang tepat dalam membantu peniaga dan penjaja yang terkesan.

“Mana yang baik untuk rakyat, kita sokong dan setuju. Pada saya, langkah MBSA merupakan langkah terbaik dan perlu diadakan secara menyeluruh melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Apa yang dilakukan ini bukan hanya di Sungai Buloh, malah perlu diperluaskan di kawasan-kawasan yang lain,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Pemuda Pas kali ke-54 di Dewan Grand Airiz, Sungai Buloh pada 16 Ogos.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, program berkenaan diadakan untuk membantu peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh yang terjejas susulan operasi bersepadu yang dijalankan MBSA, pada 12 Ogos.

Khairuddin berkata MBSA akan membantu peniaga kecil dan peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka dengan mengguna pakai permit sementara selain menyediakan tapak niaga yang bersesuaian dan mengikut peraturan.

Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh oleh MBSA itu diadakan selama dua hari bermula 15 Ogos.

Ia bertujuan memberikan taklimat dan penerangan berhubung permit penjaja sementara, permohonan tambahan pindaan seperti sengkuap (awning), binaan pemisah (partition) dan sebagainya.

Pada program hari itu, kira-kira 300 peniaga dan penjaja dari sekitar daerah Sungai Buloh dan daerah berhampiran turut hadir mendengar taklimat yang diberikan sebelum berurusan di kaunter yang disediakan