Malaysia Dateline

Pas kata MoU PH dengan Ismail kekal hingga PRU-15

Pas menegaskan bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) kekal hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya percaya MoU yang dimeterai pada September tahun lalu itu berkuatkuasa sehingga pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15.

“Pas juga yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dengan pihak Pembangkang yang pada umumnya yang berkuatkuasa dari tarikh ianya ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14 akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan YAB. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengulas keputusan Umno mencadangkan agar Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri Malaysia selepas PRU-15.

“Sebagaimana buat masa ini Pas mendukung serta menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri ke-9 ini, Pas mengharapkan Agenda Perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MoU yang akan berakhir 31 Julai depan itu diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga, kata Ahmad, sebulat suara memutuskan untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU-15.

Dijangkakan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh tahun ini atau awal tahun depan.

Baca Ismail Sabri tidak terkesan dengan MoU bersama PH?

Baca Ngeri! Puluhan larva lalat dikeluarkan daripada mata manusia