Pas kekal dalam kerajaan Selangor walaupun putus dengan PKR

Pas kekal dalam kerajaan Selangor walaupun putus dengan PKR

Pas Selangor akan kekal sebagai komponen kerajaan negeri Selangor sehingga tamat penggal ini walaupun Majlis Syura parti itu mengesahkan tindakan memutuskan hubungan dengan PKR.

Pesuruhjaya Pas Selangor yang baru, Sallehen Mukhyi dalam kenyataannya berkata, tindakan itu dibuat demi menghormati mandat dan kepercayaan rakyat khasnya dalam PRU ke-13.

Dalam kenyataan empat perenggan itu, Sallehen berkata, Pas Selangor akur dan menghormati keputusan Majlis Syura Ulamak Pas yang telah memutuskan bahawa kerjasama  politik (tahalluf siyasi) antara Pas dan PKR telah terbatal.

Oleh yang demikian, katanya Pas Selangor tidak lagi akan terlibat dalam sebarang kerjasama dan rundingan politik dengan PKR dan sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Pas mempunyai 13 Adun dan empat exco dalam kerajaan negeri Selangor di samping kira-kira 5,000 pejawat di bawah lantikan politik yang menerima elaun dan gaji dari kerajaan negeri Selangor.

Pas juga mengawal hampir kesemua masjid dan surau di negeri itu apabila pemimpinnya memimpin hampir semua jawatankuasanya.

Ia digunakan sepenuhnya oleh Pas untuk melebarkan pengaruhnya dengan cara mengawal aktiviti rumah ibadat umat Islam itu dengan menganjurkan kuliah yang hanya diberikan oleh penyokongnya.

Walaupun telah memutuskan hubungan, Pas terus menggunakan dana kerajaan negeri dalam aktivitinya di seluruh negeri melalui exco, Adun dan pejawat lantikan politik yang lain.

COMMENTS

Wordpress (0)