Malaysia Dateline

Pas kekal dengan ‘dua kolam’, tolak PH

Pas memutuskan untuk menolak sebarang bentuk usaha ke arah penjajaran baharu melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengambil ketetapan untuk meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Pas telah melakukan pertemuan dan libat urus dengan kedua-dua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Umno dan Bersatu di mana pertemuan itu diketuai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pertemuan turut dilakukan bersama pimpinan tertinggi Bersatu yang dihadiri Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam.

“Pas menetapkan untuk meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama PN

“Pas akan mempertegas usaha memperkasa Muafakat Nasional, sekaligus mempertahan Perikatan Nasional di semua peringkat.

“Menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu Pas berkata, parti itu komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu antara Umno, Bersatu dan Pas, demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat Malaysia.

Pas berkata, segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud pasti dapat diselesaikan oleh pimpinan parti-parti, atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

Pas turut menekankan buat masa ini semua pihak perlu memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya.