Malaysia Dateline

Pas Kelantan akur perkenan YDP Agong lantik Tommy Thomas

Pas Kelantan akur dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berhubung pelantikan Peguam Negara yang baharu, kata Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar, yang juga Naib Presiden Pas, berkata ia berikutan pandangan rasmi telah dikeluarkan oleh Pas Pusat semalam berhubung perkara tersebut.

“Kita terima dengan terbuka perkenan Yang di-Pertuan Agong (melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara). Seri Paduka pun setuju maka kita pun setujulah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim hari ini lapor Bernama.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata buat masa ini, peluang harus diberikan kepada Thomas untuk melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara.

Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara tidak akan menjejaskan kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu di negara ini.

Beliau dipetik sebagai berkata ini kerana setiap individu yang dilantik sebagai Peguam Negara adalah terikat kepada Perlembagaan Malaysia dan bertindak atas kuasa yang ada dalam perlembagaan itu.