Pas Kelantan perlu utamakan kepentingan rakyat, kata Husam

Pas Kelantan perlu utamakan kepentingan rakyat, kata Husam

Pimpinan Pas diingatkan supaya tidak mengamalkan politik antagonis.

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen AMANAH negeri Kedah sebentar tadi.

Jelas beliau, politik antagonis tidak mampu membawa perubahan, sebaliknya ia memberi kesan yang negatif bukan saja kepada Pas tetapi juga kepada rakyat.

Malah katanya, isu Majlis Perundingan Komuniti Kampung (MPKK) yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan tidak membawa manfaat yang besar kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat bersatu padu dan bukannya diasingkan termasuklah dalam pelantikan pengerusi, setiausaha dan ahli jawatankuasa MPKK.

“Kerajaan Pas harus sedar bahawa seratus peratus peruntukan bagi MPKK adalah dari Kerajaan Pusat.

“Tidak mungkin hanya lima ahli jawatankuasa MPKK terdiri dari wakil Kerajaan Pusat, manakala lima belas lagi daripada Pas,” ujarnya.

Kata Husam lagi, Pas perlu sepakat dan mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya memecahbelahkan rakyat.

“Sekiranya wujud MPKK Pas dan MPKK Kerajaan Pusat pula, ia tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

“Seandainya Pas tidak dapat menerima pandangan untuk kepentingan rakyat, bagaimana pula mereka hendak menerima keperluan lagi demi kesejahteraan rakyat.

“Oleh kerana itu, Pas Kelantan harus mengutamakan keperluan rakyat daripada kepentingan politik,” tambah beliau.

 

COMMENTS