PAS Kelantan tidak tolak kemungkinan kerjasama dengan Umno

PAS Kelantan tidak tolak kemungkinan kerjasama dengan Umno

PAS Kelantan tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan Umno untuk menentang Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan raya Umum ke-14 nanti walaupun Majlis Syura Ulama menegaskan PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan sehingga kini tidak ada perbincangan dibuat dengan Umno untuk mewujudkan kerjasama itu.

“Kita tidak pernah bincang sampai ke situ lagi tetapi dalam dunia ini semua perkara boleh berlaku.Kalau nak kata tak mungkin kita tidak tahu sebab benda ini mungkin berlaku tapi tidak pernah bincang lagilah,” ujarnya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan PAS Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim pada Rabu lalu.

Beliau dipetik sebagai berkata kerjasama PAS dan Umno lebih kepada isu melibatkan kepentingan agama umat Islam dan negara.

Dalam perkembangan sama semalam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dipetik berkata tindakan PAS menolak kerjasama politik dengan BN tidak bermakna perpaduan tidak boleh dicapai dalam kalangan orang Melayu di Kelantan demi kepentingan Islam dan pembangunan negeri.

Beliau berkata UMNO Kelantan menghormati pendirian PAS itu namun berharap pada masa depan parti itu boleh mengadakan kerjasama politik dengan BN.

TAGS