Pas kemuka saman terhadap Sarawak Report di England sebulan lagi

Pas kemuka saman terhadap Sarawak Report di England sebulan lagi

Pas akan mengemukakan saman terhadap Sarawak Report berhubung dakwaan portal itu yang mendakwa Pas mendapat RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Sinarharian Online melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya hari ini berkata, Pas akan mengemukakan saman itu di England dalam‎ tempoh sebulan.

“Kita telah membuat keputusan akan membawa kes ke mahkamah di England kerana kita difahamkan media tersebut berpusat di sana.

“Kita kenal peguam kanan (queen council) yang pernah ada hubungan dengan kita dalam kes sebelum ini. Dalam masa terdekat dalam masa sebulan ini,” katanya‎ di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Isnin lalu, Pas membidas Sarawak Report berkenaan dakwaan itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata Pas akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak Report kerana berniat jahat dan mencemar nama baik parti serta dasar Islam yang menjadi teras kepada parti itu.

Malah, Pas membuat ketetapan mengekalkan keputusan untuk menyaman Sarawak Report berhubung dakwaan yang dibuat portal berita itu terhadap parti berkenaan, kata Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob.

TAGS